KUCHING: Kelicikan seorang lelaki melakukan tiga rompakan nekad bersenjatakan pistol berakhir apabila beliau tumpas di tangan sepasukan anggota siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Kontijen Sarawak di pusat beli-belah The Spring di sini pada 11 Januari lalu.
Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar berkata, tangkapan dilakukan sekitar jam 12.55 petang oleh pasukan serbuan yang diketuai Asisten Superintendan Stephen Ayuk, hasil intipan dan risikan.
“Lelaki berusia 26 tahun dari Melaka itu kemudian didapati memiliki dua rekod jenayah rompakan serta memiliki senjata di negeri kelahirannya.
“Siasatan awal kita juga mendapati suspek terlibat dalam tiga insiden rompakan berbeza di sini.
Kata Dev, kes pertama berlaku pada jam 3 pagi, 18 Disember lalu apabila suspek yang bertopeng dan bersenjatakan pistol memecah masuk sebuah apartmen di Riveria Bay di Kota Samarahan, melalui sebuah tingkap bilik tidur yang tidak berkunci.
“Apartmen tersebut dihuni oleh seorang wanita berusia 35 tahun, yang bertugas sebagai pengurus jualan.
“Menyedari kehadiran penceroboh, mangsa cuba melarikan diri, namun suspek mengugutnya dengan pistol dan melepaskan sedas tembakan ke siling.
Suspek kata Dev, memaksa wanita terbabit menyerahkan barangan berharga namun dia hanya mampu menyerahkan RM100, yang kemudian membangkitkan kemarahan suspek.
“Tangan mangsa kemudian diikat dengan tali pinggang sebelum ditolak ke atas katil, sambil diancam untuk dikasari.
“Mangsa yang ketakutan kemudian menjerit meminta tolong, menyebabkan suspek ‘kecut’ lalu melarikan diri melalui tingkap bilik.
Seminggu sebelum kejadian itu, kata Dev, pada jam 9.10 pagi 10 Disember, suspek telah merempuh masuk pintu pejabat Archdiocesan Curia and Cathedral Pastrol Centre di Jalan Tun Abang Haji Openg di sini.
“Dia kemudian mengacukan pistol kepada kakitangan pejabat tersebut yang berusia 66 tahun, sebelum menyelongkar pejabat.
“Suspek kemudian merampas beg tangan mangsa sebelum meninggalkan lokasi.
Kata Dev, insiden tersebut menyebabkan mangsa kerugian RM500, dokumen peribadi, kad bank serta beberapa set kunci.
Insiden terakhir melibatkan suspek berlaku pada 4 Januari lalu apabila dia memecah masuk sebuah tadika di Sin Hai Min Garden, Stutong sekitar jam 8 malam.
Suspek katanya, kemudian menendang bilik tidur sebelum bertentang mata dengan penjaga tadika yang berusia 23 tahun.
“Dia bagaimanapun sempat melarikan dua telefon bimbit milik mangsa sebelum melarikan diri.
Sekitar jam 1.40 petang semalam, kata Dev lagi, sepasukan anggota siasatan jenayah diketuai Inspektor Zaidi Zawawi telah melakukan siasatan lanjut di apartmen sewaan suspek di Riveria Bay.
Suspek yang turut dibawa bersama kemudian menunjukkan kepada pasukan serbuan akan tempat dia menyembunyikan pistol dan magazin peluru, iaitu di bahagian siling plaster.
Senjata yang digunakan merupakan senjata angin atau pistol BB yang menyerupai pistol automatik.
“Turut ditemui di apartmen tersebut beberapa barangan yang membawa tafsiran suspek telah melakukan beberapa jenayah lain yang serupa.
“Suspek kini ditahan reman sehingga 29 Januari dan siasatan lanjut sedang dilakukan.
“Kita percaya telah menyelesaikan banyak kes rompakan bersendirian melalui penangkapan individu ini,” jelasnya lagi. — Sarawakvoice