Liverpool rampas carta pendahulu 0 6024

LIVERPOOL: Liverpool kembali menerajui carta teratas Liga Perdana Inggeris selepas meraih kemenangan dramatik 2-1 menewaskan Tottenham Hotspur di Anfield, sebentar tadi.

Ketika perlawanan tampak seakan berakhir seri sekali gus memberi kelebihan besar buat Manchester City, tandukan Mohamed Salah pada minit ke-90 gagal dikeluarkan dengan kemas penjaga gol Spurs, Hugo Lloris untuk Toby Alderweireld menjaringkan gol ke gawang sendiri.

Kemenangan membenarkan Liverpool meneruskan pemburuan kejuaraan liga berbaki enam perlawanan tetapi City yang ketinggalan dua mata selepas mengumpul 77 mata memiliki kelebihan beraksi kurang satu perlawanan.

Roberto Firmino memberikan tuan rumah permulaan yang sempurna apabila menanduk masuk gol pendahuluan seawal minit ke-16 berpunca daripada hantaran menarik Andy Robertson.

Begitupun, kedudukan itu berjaya disamakan Spurs menerusi Lucas Moura pada minit ke-70, beberapa saat selepas kemasukan penyerang Korea Selatan, Son Heung-Min.

Gol berkenaan berpunca daripada gerakan Harry Kane, Kieran Tripper dan Christian Eriksen yang bijak membawa bola ke kawasan penalti Liverpool.

Ketika tuan rumah meningkatkan tekanan untuk kembali menerajui liga, Hugo Lloris menyelamatkan cubaan Alexander-Arnold sebelum pengurus Reds, Jurgen Klopp membawa masuk Fabinho bagi menggantikan James Milner manakala Divock Origi menggantikan Jordan Henderson.

Keputusan itu menyaksikan Liverpool menggunakan formasi 4-2-4 dan ia jelas berhasil apabila cubaan mereka untuk menghasilkan berjaya menerusi gol sendiri Alderweireld. – Agensi

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Ronaldo ledak gol ke-102 0 7741

Ronaldo ledak gol ke-102

LISBON: Cristiano Ronaldo semakin menghampiri rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman ketika juara Eropah, Portugal membelasah Andorra 7-0 dalam saingan persahabatan sebentar tadi.

Bintang Juventus itu masuk dari bangku simpanan untuk meledak jaringan ke-102 gol buat Portugal pada minit ke-85.

Bekas penyerang Iran, Ali Daei memegang rekod dengan 109 gol.

Portugal, yang meneruskan persiapan untuk mempertahankan Kejohanan Eropah tahun depan akan beraksi dalam Liga Negara-Negara berdepan Perancis awal pagi Ahad ini, mudah mengatasi Andorra. – Berita Harian

Spread the news

FAS mungkin tarik diri 0 5360

FAS mungkin tarik diri

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais menegaskan, pihaknya mungkin akan menarik diri dari terus bersaing dalam kancah Liga Malaysia 2021.

Menurutnya, tindakan demikian terpaksa dilakukan sekiranya masalah kewangan dialami masih tidak menemui jalan penyelesaian.

Bagaimanapun katanya, pihaknya sedar pendekatan dilakukan bakal memberi tempias atau kesan terhadap pasukan yang beraksi dalam kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika ini.

“Mungkin kami akan menarik diri dari terus bersaing dalam kancah Liga Malaysia 2021 sekiranya masalah kewangan yang dihadapi ketika ini masih gagal menemui jalan penyelesaian serta tiada pihak yang tampil untuk membantu.

“Memang tindakan berbuat demikian memberi tempias kepada pasukan yang berada di bawah naungan kita kelak,” jelas Datuk Posa kepada Suara Sarawak baru-baru ini.

Beliau menegaskan, tindakan menarik diri dilihat sebagai jalan terbaik untuk mengelak musibah tersebut terus berpanjangan.

Musim ini lima pasukan di bawah badan induk berkenaan bersaing dalam liga anjuran FAM iaitu Sarawak United FC (Liga Premier), Sarawak United II Liga M3), Sarawak United III (Piala Presiden), Sarawak United IV (Piala Belia) dan Sarawak United (Liga Futsal FAM).

Justeru jika keputusan menarik diri terpaksa dilakukan maka secara automatik kesemua lima pasukan ini tidak boleh beraksi dalam sebarang kejohanan anjuran FAM.

Dalam pada itu katanya, pihak pengurusan FAS merakam ucapan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Abdullah Saidol atas sokongan yang diberikan kepada badan induk (FAS) selama – Suara Sarawak

Spread the news