JULAU: Seorang lelaki dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak tengah malam kelmarin, yang dipercayai hilang dibawa arus di kawasan Sungai Entabai Julau.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, mangsa yang hilang dikenali sebagai Anjan Nyua berusia 66 tahun dari Rumah Anding Nanga Jemak, Sungai Entabai Julau.
“Dalam kejadian tersebut mangsa dipercayai baharu pulang seorang diri dari menghadiri majlis Pra Gawai di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Entabai Julau.
“Menurut beberapa orang penduduk dari rumah panjang Rumah Minggat, Nanga Sayong, pada jam sekitar 1 atau 2 pagi, mereka ada terdengar suara dan jeritan dari arah sungai terbabit yang meminta tolong.
“Namun setiba mereka di tebing sungai berkenaan, penduduk dari rumah panjang terbabit hanya melihat perahu dan enjin sangkut mangsa yang berada dalam keadaan hanyut, tetapi mangsa tiada di dalam perahu terbabit,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Dalam masa yang sama juga, anak mangsa turut mengesahkan perahu dan enjin sangkut yang hanyut tersebut adalah milik bapanya.
Kali terakhir mangsa dilihat memakai baju hijau berbelang kuning dan Berseluar panjang.
Berikutan itu, laporan polis telah dibuat dan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) telah dilancarkan untuk mencari mangsa dan hari ini operasi tersebut memasuki hari kedua pencarian. – Utusan Borneo Online