Menteri: Peraturan baru cermin gelap kekal 0 5856

Kementerian Pengangkutan tidak berganjak dengan keputusan bahawa pemilik kereta persendirian boleh menggelapkan sepenuhnya cermin belakang dan sisi kiri dan kanan penumpang, meskipun mendapat tentangan beberapa pihak.

Menterinya Anthony Loke berkata, keputusan tersebut telah mengambil kira kepentingan semua pihak, termasuk dari pihak polis yang dinyatakan ketika bengkel khas mengenai perkara itu pada Jun 2014.

Justeru, katanya, Pindaan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 kekal terpakai.

“Pengumuman saya sebelum ini mendapat reaksi pelbagai masyarakat, ada yang sokong dan ada yang tak setuju. Kita raikan perbezaan pendapat.

“Tetapi keputusan tersebut telah mengambil kira kepentingan semua pihak sebelum pindaan dibuat khususnya daripada bengkel yang diadakan sebelum ini.

“Majoriti peserta bengkel yang disertai pelbagai agensi termasuk polis yang setuju untuk mengekalkan ketelusan cahaya nampak (VLT) bagi cermin hadapan dan sisi pemandu, masing-masing berkadar 70 peratus serta 50 peratus masih dihormati,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya, hari ini.

Anthony berkata demikian sebagai menjawab maklum balas orang ramai berhubung keputusan kementeriannya yang diumumkan dua hari lalu.

Menurut peraturan sebelum ini, VLT bagi cermin belakang dan cermin sisi penumpang ialah 30 peratus.

Bagaimanapun VLT bagi cermin depan serta kiri dan kanan pemandu pula kekal, masing-masing pada kadar 70 dan 50 peratus.

Terdahulu, polis dilaporkan membantah kadar peratusan VLT baru itu dan berkata ia menyukarkan tugas pihak berkuasa.

Menurut Harian Metro, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Azisman Alias berkata pihaknya tidak dirunding terlebih dulu mengenai perkara itu.

Bayaran cermin gelap sepenuhnya

Mengulas lanjut, Loke berkata kadar baru tersebut selari dengan piawaian antarabangsa.

“Apa yang ditetapkan mengikut piawaian antarabangsa. Banyak kereta import, termasuk kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) dari Jepun yang tidak melepasi piawaian kita.

“Maka pemilik kenderaan import ini terpaksa menyewa cermin dengan kadar VLT mengikut piawaian di kedai aksesori kereta pada kadar RM800 semata-mata untuk melepasi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM),” katanya.

Menyentuh pelaksanaan bayaran bagi penggunaan cermin gelap sepenuhnya, Loke berkata ia dilaksana untuk menjana pendapatan kepada negara selain mengelakkan rasuah.

Untuk rekod, bayaran RM5,000 – jika permohonan diluluskan – untuk cermin gelap sepenuhnya untuk semua cermin kereta yang biasa digunakan VIP. Ia tidak berkaitan dengan kadar VLT baru untuk cermin belakang dan sisi penumpang bagi kenderaan persendirian.

Beliau mendakwa ketika pentadbiran lalu, wujud sindiket dalam kementeriannya yang mengambil ‘upah’ sehingga RM8,000 untuk mendapat kelulusan menggunakan cermin gelap sepenuhnya atas faktor keselamatan.

“Daripada kerajaan tak dapat sesen seperti pentadbiran dahulu, sebaliknya menguntungkan poket sesetengah pihak, baik kita kenakan bayaran terhadap mereka yang mahu guna cermin gelap (sepenuhnya).

Akan jumpa PDRM

“Mengikut statistik, ada 17,186 permit penggunaan cermin gelap yang akan tamat tempoh, justeru pihak yang ingin memperbaharui mengikut pindaan baru perlu membayar fi RM5,000 jika diluluskan.

“Kelulusan akan disaring jawatankuasa yang akan dipengerusikan ketua pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan kutipannya dijangka menjana pendapatan negara hampir RM85 juta,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Loke berkata pihaknya diketuai Ketua Pengarah JPJ Shaharuddin Khalid akan bertemu polis bagi menyelaras perkara berkaitan peraturan baru itu, antara soal pelaksanaan sekatan jalan raya.

“Ingin saya tegaskan bahawa pindaan peraturan cermin gelap mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 adalah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, kita tiada keperluan untuk mengadakan rundingan dengan polis.

“Bagaimanapun kita ambil maklum balas mereka sebelum ini sebelum mengemukakan pindaan peraturan cermin gelap,” katanya. – Malaysiakini

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Wanita trauma dirogol, liwat dan dicederakan akibat hutang 0 13861

Wanita trauma dirogol, liwat dan dicederakan akibat hutang

JOHOR BAHRU: Seorang wanita trauma apabila dirogol, diliwat dan dicederakan temannya sendiri disyaki berikutan pertikaian mengenai hutang, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupeah Abd Wahid, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, mangsa dibawa ke rumah rakannya.

“Kejadian ini membabitkan seorang suspek lelaki dan dua suspek wanita yang juga rakan mangsa. – Berita Harian

Spread the news

Lebih 10 rumah dinaiki air 0 13027

Lebih 10 rumah dinaiki air

KUALA TERENGGANU: Fenomena air pasang besar selain hujan berterusan di sekitar daerah ini semalam menyebabkan lebih 10 rumah penduduk di Kampung Losong Haji Mohd, di sini dinaiki air, malam tadi.

Penduduk yang ditemui di kampung berkenaan memaklumkan air mula naik kira-kira jam 9.30 malam.

Tinjauan NSTP mendapati, beberapa rumah yang terletak berhampiran sungai dinaiki air sehingga paras paha. – Berita Harian

Spread the news