Najib terkilan kerajaan beku akaun UMNO 0 5524


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak terkilan dengan tindakan kerajaan membekukan akaun bank UMNO dan pelbagai parti pembangkang lain termasuk Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Bekas Perdana Menteri berkata, tindakan itu dibuat kerana parti politik terbabit disyaki menerima dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), yang kononnya dibelanjakan untuk pilihan raya umum.

“PRU-13 diadakan lima tahun lalu dan sepatutnya akaun bank parti politik terbabit dibenarkan beroperasi seperti biasa kerana ia tidak akan menjejaskan siasatan yang sedang dilakukan.

“Bukankah rekod transaksi akaun bank berkenaan mudah diperoleh sekiranya diperlukan penyiasat?

“Saya juga sedih apabila seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) turut meminta kerajaan membekukan akaun bank parti politik lain seperti MCA, MIC dan Gerakan,” katanya menerusi Facebook rasminya, hari ini.

Beliau berkata, adalah tidak wajar untuk membekukan akaun bank yang akan menjejaskan kegiatan dan pembinaan semula parti pembangkang.

“Ia juga akan memberi kepayahan kepada kakitangan serta keluarga mereka yang digaji parti.

“Tindakan ini juga akan menjejaskan program kemasyarakatan yang berterusan dilakukan parti terutama bagi membantu rakyat yang masih memerlukan.

“Membekukan akaun bank parti terbesar ini akan menjejaskan kebangkitan pembangkang yang berkesan dan dapat dilihat sebagai serangan atau penafian terhadap asas demokrasi,” katanya yang turut menegaskan UMNO dan SUPP tidak bersalah.

Tambah Najib, adalah satu kelaziman untuk menerima derma politik sebagaimana parti politik lain termasuk parti dalam gabungan PH dan tiada peruntukan perundangan yang menyatakan pembiayaan politik adalah salah.

“Bagaimana sesebuah parti politik dapat mengesahkan sumber dana yang diperoleh? Bolehkah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau DAP mengesahkan derma yang diterima mereka tidak datang dari penderma yang terbabit dalam kegiatan haram atau ekonomi gelap (black economy)?

“Memandangkan PH sudah berkempen untuk PRU-14 dengan mendakwa saya terbabit dalam pelbagai salah laku, saya mengalukan siasatan terhadap saya, namun jangan jadikan parti politik sebagai mangsa,” katanya.

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pelitup muka bukan sisa domestik 0 13504

Pelitup muka bukan sisa domestik

CABARAN pandemik COVID-19 belum tamat. Sehingga kini, lebih 51 juta penduduk dunia dijangkiti virus dengan lebih 1.27 juta kematian.

Bagi membendung penularan, kita sentiasa diingatkan kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Ini termasuk mengamalkan penjarakan fizikal, kerap membasuh tangan, mengelak tempat sesak dan memakai pelitup muka.

Sememangnya SOP perlu dibudayakan sehingga menjadi kebiasaan baharu. Bagaimanapun, amalan pemakaian pelitup muka menjadi perhatian dan kebimbangan aktivis alam sekitar serta penyelidik.

Sebelum ini, pemakaian pelitup muka terutama daripada jenis surgikal hanya diamalkan petugas kesihatan di hospital dan klinik. Ia SOP biasa bagi mengelak jangkitan dengan pesakit dirawat. – Berita Harian

Spread the news

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱 0 8150

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱

Limbang: Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang memindahkan buaya seberat 800 kilogram sepanjang lima meter yang ditangkap di parit di Taman Perumahan St Edmund Limbang, di sini, semalam, ke kawasan selamat pagi hari ini.

BBP Limbang dalam kenyataannya berkata, sekitar 11 malam, reptilia itu ditemukan tersesat di dalam parit di kawasan perumahan itu menyebabkan kegelisahan penduduk di situ.

Justeru, katanya, sepasukan bomba dikerah ke lokasi membantu bagi menangkap serta mengikat buaya berkenaan di parit berdekatan kawasan perumahan berkenaan.

“Hari ini, bomba dengan bantuan Sarawak Forestry Corporation (SFC) ke lokasi menjalankan khidmat khas pada 8.25 pagi untuk memindahkan buaya itu.

“Pasukan bomba dengan bantuan tujuh anggota SFC mengambil masa hampir satu jam mengangkat buaya tembaga itu ke darat dengan menggunakanΒ forklift,” katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, buaya diletakkan dalam kenderaan khas kemudiannya diserahkan kepada SFC untuk dihantar ke lokasi penyimpanan SFC di Kubong. – Harian Metro

Spread the news