Penghina ATM musuh negara: Menteri Pertahanan 0 44

KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyifatkan mana-mana individu yang menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah musuh negara dan rakyat.

Beliau berkata, tindakan menghina ATM juga adalah perkara jijik dan tidak boleh diterima.

“Bagi saya sesiapa sahaja tidak kira daripada mana-mana kaum yang menghina ATM, dia adalah musuh negara.
ARTIKEL BERKAITAN: Yew Yin tarik balik kenyataan, mohon maaf kepada tentera

“Boleh kritik, beri pandangan dan tunjuk ajar tapi jangan sesekali hina ATM,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Kementerian Pertahanan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2019, di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Beliau mengulas berhubung kenyataan ahli perniagaan, Koon Yew Yin yang menghina ATM hanya makan dan tidur sehingga menimbulkan rasa kurang senang banyak pihak.

Mohamad berkata, isu penghinaan terhadap ATM tidak harus dilihat sebagai isu perkauman tetapi sebagai sudut keselamatan kerana membabitkan barisan hadapan pertahanan negara.

“Reaksi rakyat lebih dari sudut perkauman. Sebelum ini mantan Menteri Besar Sabah (Tan Sri Harris Salleh) juga pernah hina ATM dengan mengesyorkan anggota tentera jadi pengawal keselamatan dan amah tapi rakyat tak melenting.

“Tapi bila jutawan Tiong Hua hina, ramai pihak main peranan hentam. Saya lihat perkauman yang dimainkan. Mengapa?,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya menyerahkan isu penghinaan ATM kepada pihak polis memandangkan telah ada laporan yang dibuat meskipun permohonan dibuat pihak terbabit.
“Kita serahkan pada kebijaksanaan pihak polis untuk mengambil tindakan,” katanya.

Koon Yew Yin menerusi blog kendaliannya baru-baru ini menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan awam yang disifatkan terlalu besar.

Beliau turut menulis bahawa anggota tentera hanya makan dan tidur dan majoriti mereka tidak pernah melepaskan tembakan melainkan menembak papan sasaran selain mengesyorkan tentera menggantikan pekerja buruh.

Dalam pada itu, Mohamad dalam ucapannya turut menyentuh berhubung peruntukan pertahanan negara yang disifatkan masih sedikit berbanding negara-negara lain yang aman dan lebih kecil dari Malaysia.

“Negara-negara yang berada dalam kedudukan tinggi indeks negara bahagia, memberi perhatian tinggi terhadap pertahanan.

“Di Finland, negara nombor satu paling bahagia, mereka membelanjakan 1.4 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) atau AS$3.8 bilion untuk pertahanan pada 2018 sedangkan rakyat mereka hanya 5.5 juta orang.

“Norway dan Denmark yang berada pada kedudukan kedua dan ketiga bahagia dunia juga belanja 1.6 peratus dan 1.1 peratus KDNK dengan nilai AS$6.9 bilion dan AS$4.1 bilion untuk pertahanan 2018, sedangkan penduduk mereka lebih kecil dari Malaysia.

“Singapura, walaupun keluasan negara hanya 646 kilometer persegi. Mereka belanja 3.1 peratus KDNK atau AS$11.4 bilion untuk pertahanan 2018, jika dibandingkan dengan kita yang mempunyai 32.4 juta penduduk 130,000 anggota tentera, 329,000 kilometer persegi keluasan negara, dan 4,600 km panjang perairan, kita hanya belanja 0.9 peratus KDNK pada 2018,” katanya. – Sinar Harian

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terung asam bakal tembusi pasaran Singapura 0 25

BAU: Terung asam ataupun dikenali sebagai Terung Dayak merupakan salah satu produk Sarawak yang bakal menembusi pasaran antarabangsa tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglass Uggah Embas berkata, negara Singapura kini berminat untuk membeli produk Sarawak seperti udang, terung asam, jambu batu dan ikan tilapia.

Sehubungan itu, beliau menggesa para petani dan para usahawan untuk tidak melepaskan dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Jelasnya, Sarawak harus memastikan jumlah produk berkenaan sentiasa mencukupi memandangkan ianya akan mempunyai pasaran baharu dan akan memastikan kualiti untuk setiap produk.

Tambah beliau lagi, setakat ini Sarawak telah mengeksport 1,200 babi hidup setiap minggu ke Singapura.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan pelancaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serembu di Dewan Serba Guna Kampung Skio semalam.

Pada majlis yang sama, beliau turut meluluskan geran RM500,000 untuk penanaman halia, nanas dan jagung muda di kawasan DUN Serembu.

Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah menegaskan kerajaan kini sedang dalam proses mengubah sektor pertanian negeri menerusi pertanian moden.

Spread the news

17 nelayan Vietnam ditahan, bot dirampas di Bintulu 0 27

BINTULU: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas sebuah bot nelayan Vietnam bersama peralatan dan pelbagai jenis ikan yang dianggarkan bernilai hampir RM1juta dalam Ops NagaTimur 01/19
kira-kira 106 batu nautika dari utara Tanjung Kidurong, Bintulu, Ahad lalu.

Dalam operasi tersebut, agensi itu turut menahan 17 krew vessel berumur antara 18 hingga 49 tahun.

Timbalan Pengarah Zon Maritim (Operasi) Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil dalam sidang medianya berkata kesemua suspek ditahan oleh Kapal Maritim Sri Aman (KM Sri Aman) yang sedang mengadakan rondaan operasi sempena Op Naga Timur 01/19 kira-kira jam 8 pagi.

Beliau berkata vesel nelayan asing terbabit disyaki telah melakukan aktiviti penangkapan ikan tanpa kebenaran dan tidak memiliki permit penangkapan ikan yang sah di perairan Malaysia.

Vesel bersama suspek, katanya, ditunda masuk ke Pelabuhan Kedua Bintulu untuk siasatan lanjut.

Kesemua krew warganegara Vietnam terbabit kini direman selama 14 hari dan akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, tambah Effendy lagi.

Beliau, dalam pada itu, berkata Maritim Malaysia Zon Maritim Bintulu sentiasa mengalu-alukan orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan perlakukan jenayah, kemalangan atau insiden di laut.

Maklumat, katanya, boleh disalurkan terus ke pusat operasi Zon Maritim Bintulu di talian 086-314237 atau melalui laman facebook: Zon Maritim Bintulu & TWITTER: Zon Maritim_Bintulu@ZBintulu. – SarawakVoice

Spread the news
DON’T MISS OUT!
Subscribe To Newsletter
Be the first to get latest updates and exclusive content straight to your email inbox.
Stay Updated
Give it a try, you can unsubscribe anytime.
close-link