MIRI: Seorang lelaki ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima kerana disyaki memiliki selaras senapang angin di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Nelayan, Kuala Sungai Bakam di sini petang semalam.
Komander PPM Wilayah Lima, ACP Salehuddin Mat Zaman berkata serbuan dilakukan hasil maklumat risikan Unit Rondaan Marin (URM).
“Pemeriksaan polis berjaya menemui selaras senapang angin yang menyerupai senapang patah bersama 10 biji peluru yang diperbuat daripada guli di rumah suspek.
“Semakan lanjut juga mendapati suspek berusia 37 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,β katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, suspek kini ditahan lanjut di Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan selanjutnya termasuk barang yang dijumpai juga dirampas. Suspek kini disiasat dibawah Seksyen 8 AktaSenjata Api 1960. -Utusan Borneo Online