BAU – Enam lelaki ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dan memiliki senjata api tiruan di Kampung Grogo di sini tengah hari kelmarin.
Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Mohd. Sabri Zainol berkata, kesemua suspek berusia 17 hingga 32 tahun itu ditangkap pukul 12.05 minit tengah hari.
Menurutnya, operasi khas itu dijalankan susulan maklumat dan risikan yang mencurigai tindak tanduk suspek selepas disyaki terlibat dalam aktiviti jenayah.
“Semasa serbuan, semua suspek berada di rumah dan pemeriksaan lanjut menemui dua paket kecil plastik lutsinar serta sepeket besar plastik mengandungi dadah jenis syabu di atas lantai rumah itu.
“Pemeriksaan di luar rumah pula menemui sepucuk pistol hitam menyerupai senjata api jenis P99 DAO yang diletakkan di atas rangka simen tingkap luar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, syabu seberat 1.53 gram itu dianggarkan bernilai RM300.
Katanya, semua suspek didapati positif dadah jenis methaphetamine dan amphetamine.
“Bagaimanapun, semua suspek tidak membuat sebarang pengakuan mengenai pemilikan barang-barang rampasan tersebut.
“Eemua suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut,” katanya lagi. /Sumber – K! ONLINE