PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang lagi pengarah syarikat bagi membantu siasatan kes projek membekal dan memasang panel tenaga solar kepada 369 sekolah di Sarawak membabitkan kos RM1.25 bilion.
Sumber memberitahu, pengarah syarikat itu yang berusia 39 tahun ditahan di ibu pejabat SPRM di sini kira-kira jam 7.45 petang tadi ketika hadir memberi keterangan.
Katanya, suspek adalah individu ketiga yang ditahan SPRM berhubung siasatan kes itu.
Difahamkan, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi mendapatkan perintah tahanan reman.
Semalam, dua individu termasuk seorang pengarah syarikat direman enam hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Kedua-dua suspek masing-masing pengarah syarikat berusia 59 tahun dan peguam syarikat berusia 30 tahun disiasat mengikut Seksyen 18 Akta (a) SPRM 2009.
Difahamkan, kedua-duanya dipercayai terbabit dalam membuat tuntutan palsu berjumlah RM221 juta.
Kementerian Pendidikan sebelum ini memulakan siasatan dalaman berhubung projek membekal panel tenaga solar kepada 369 buah sekolah di Sarawak yang diberikan kepada syarikat berpangkalan di Bintulu.
Pengagihan projek berkenaan didakwa dilakukan oleh seorang bekas pemimpin negara yang meluluskannya tanpa menawarkan tender terbuka, sekali gus melanggar prosedur biasa Kementerian Pendidikan. – Berita Harian Online