Limbang: Seorang remaja lelaki bertindak ala gangster selepas membelasah dan mencekik bekas teman wanitanya gara-gara berang cintanya tidak dibalas dalam kejadian yang berlaku Ahad lepas.
Dalam kejadian jam 8.40 malam itu mangsa ditampar di bahagian pipi kiri, dicekik oleh suspek, 19 tahun yang datang ke kediaman mangsa.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata tidak cukup dengan itu, suspek turut menarik tangan dan rambut mangsa, 18 tahun dengan kasar selain memecahkan telefon bimbitnya.
“Suspek yang berang kerana mangsa enggan kembali bersamanya turut mencekik rakan mangsa 18, yang berada di tempat kejadian,”katanya kepada media hari ini.
Mohd Bukhori berkata usaha mengesan suspek sedang dijalankan dan mangsa dibawa ke Hospital Limbang untuk menerima rawatan.
Bagaimanapun, katanya, hasil laporan perubatan menunjukkan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.
Dalam kejadian berasingan, seorang juruteknik pendawaian dipukul dengan menggunakan kayu dan tangan oleh empat lelaki yang tidak dikenali di kawasan parkir Lapangan Terbang Limbang.
Kejadian berlaku jam 7 malam Jumaat lepas menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka, lebam di bahagian belakang dan bengkak di jari tangan kanan.
Mohd Bukhori berkata mangsa mendapat rawatan awal di Hospital Limbang pada hari yang sama.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa tidak mengetahui punca pergaduhan.
“Setakat ini, tiada tangkapan dibuat kerana mangsa tidak mengenali suspek namun usaha untuk mengesan mereka yang terlibat akan diteruskan,”katanya.
Jelasnya lokasi kejadian telah dilawati, namun pihaknya tidak menemui sebarang senjata yang digunakan dalam pergaduhan itu.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan,”ujarnya lagi. -Utusan Borneo Online