KUALA LUMPUR – Hajat Mesir untuk mara ke pusingan kedua Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2018 FIFA hancur berkecai selepas tewas kali kedua, kali ini dibelasah tuan rumah Rusia 1-3 dalam aksi Kumpulan A di Stadium Saint-Petersburg, awal pagi ini.
Tiga gol dalam masa 20 minit di babak kedua menjadi pemusnah kepada impian Mesir untuk layak ke pusingan kalah mati buat kali pertama setelah penampilan terakhir mereka pada edisi 1990 di Itali turut berakhir di peringkat kumpulan.
Selepas dikecewakan 0-1 kepada jaringan lewat Uruguay pada aksi pertama Sabtu lalu, ‘The Pharaohs’ berharap dapat mengutip sekurang-kurangnya satu mata bagi mengelak daripada pulang awal dalam kempen di Rusia ini.
Namun, dengan aksi serba tidak menjadi, Mesir terpaksa akur dengan kegagalan mereka mengutip sebarang mata dalam dua perlawanan, sekali gus menjadi pasukan pertama tersingkir awal meskipun mempunyai baki satu lagi perlawanan menentang Arab Saudi.
Rusia pula mengharapkan kemenangan bagi mengesahkan slot ke saingan kalah mati tersebut selepas menang besar 5-0 ke atas Arab Saudi pada perlawanan pertama.
Hajat mereka itu akhirnya tercapai selepas pertahanan dan kapten Mesir, Ahmed Fathi tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-47 sebelum Denis Cheryshev (59) dan Artem Dzyuba (62) masing-masing meledakkan gol dalam masa tiga minit.
Kehadiran Mohamed Salah dalam skuad utama Mesir selepas tidak diturunkan ketika pertemuan dengan Uruguay, pada mulanya diramal mampu menyuntik semangat dan kekuatan jentera serangan ‘The Pharaohs’.
Namun, selepas berehat selama tiga minggu akibat kecederaan bahu, bintang Liverpool itu dilihat kurang menyerlah meskipun menyumbang satu gol menerusi penalti pada minit ke-74.
Persembahan skuad kendalian Hector Cuper itu juga tampak kurang bermaya dan jauh berbeza berbanding ketika menentang Uruguay yang mana mereka tampil lebih bertenaga dan banyak melancarkan serangan berbahaya.
Sebaliknya Rusia yang lebih banyak menguasai permainan dan mencemaskan benteng pertahanan Mesir menerusi gerakan lincah pemain sayap Cheryshev dan penyerang tinggi lampai Yury Gazinsky.
Kemenangan ini menyaksikan Rusia menjadi pasukan pertama mengesahkan tempat ke pusingan kedua dengan baki satu perlawanan menentang Uruguay.
Manakala Uruguay juga berpeluang layak ke pusingan sama sekiranya menang ke atas Arab Saudi pada aksi kedua malam ini. – K! ONLINE