Sarawak tangguh larangan merokok di tempat awam 0 6612

KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak menangguhkan larangan merokok di semua premis makan yang penguatkuasaannya bermula hari ini di seluruh negara, sementara menunggu keputusan oleh Kabinet negeri, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian.

Beliau berkata, sungguhpun kerajaan negeri sependapat dengan kerajaan Persekutuan dalam undang-undang anti merokok, ia mempunyai ordinan kerajaan tempatan sendiri berhubung aktiviti merokok.

Hakikatnya pada dua tahun lepas, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) melaksanakan kempen anti merokok di kopitiam menerusi undang-undang kecil kerajaan tempatan mereka sendiri, tetapi malangnya tidak semua majlis tempatan di Sarawak melakukan perkara sama.

“Elakkan daripada dikelirukan oleh pihak tertentu bahawa kami menghalang undang-undang persekutuan daripada dilaksanakan di negeri ini,” kata Dr Sim kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau difahamkan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) di bawah Kementerian Kesihatan akan memanggil pemegang kepentingan terutamanya pengusaha kopitam untuk membincangkan Undang-undang Anti Merokok Persekutuan yang baru diwartakan (24 Disember 2018) dan pelaksanaannya.

Dr Sim berkata, satu pertemuan telah diadakan membabitkan JKNS, kementerian beliau, dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak pada 28 Disember tentang perkara yang perlu dilakukan Sarawak berhubung pelaksanaan dan isu berkaitan penguatkuasaan larangan itu di pihak majlis tempatan.

Di KOTA KINABALU, Majlis Belia Sabah (MBS) mahu larangan merokok di restoran dan premis makan yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan bermula tengah malam tadi dilaksanakan di Sabah.

Presidennya, Ahmad Farid Sainuri berkata, larangan itu bukan hanya menyediakan persekitaran yang sihat kepada anak kecil, warga emas dan pesakit yang menghidap masalah pernafasan tetapi juga mampu menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan setanding dengan negara maju.

“Langkah itu mampu menjimatkan dari segi perbelanjaan subsidi hospital kerajaan apabila jumlah pesakit berkurang selain menjana pendapatan dengan kehadiran pelancong yang menyukai persekitaran bebas asap rokok di premis kedai makan di negeri ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Ahmad Farid berkata MBS yang mewakili lebih 190,000 belia di Sabah berkata larangan itu tidak menafikan hak perokok kerana terdapat pekeliling yang menetapkan jarak kawasan boleh merokok iaitu tiga meter daripada premis larangan.

Baru-baru ini Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Jaujan Sambakong berkata, Sabah akan mengkaji larangan merokok di negeri ini.

Jaujan berkata, negeri Sabah tidak menguatkuasakan larangan merokok seperti yang diumumkan kerajaan Persekutuan yang berkuat kuasa 1 Januari 2019 sehingga ia disahkan dalam mesyuarat Kabinet negeri.

Pada Oktober lepas, Kementerian Kesihatan mengumumkan larangan merokok di semua restoran, kopitiam dan pusat penjaja, malah tempat makan di ruang terbuka, di seluruh negara, berkuat kuasa hari ini, 1 Januari 2019.

Mereka yang didapati merokok di kawasan larangan akan didenda sehingga RM10,000 atau berdepan hukuman penjara dua tahun manakala premis makan yang didapati membenarkan pelanggan mereka merokok akan dikenakan hukuman denda maksimum RM2,500. – BERNAMA

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Wanita trauma dirogol, liwat dan dicederakan akibat hutang 0 13011

Wanita trauma dirogol, liwat dan dicederakan akibat hutang

JOHOR BAHRU: Seorang wanita trauma apabila dirogol, diliwat dan dicederakan temannya sendiri disyaki berikutan pertikaian mengenai hutang, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupeah Abd Wahid, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, mangsa dibawa ke rumah rakannya.

“Kejadian ini membabitkan seorang suspek lelaki dan dua suspek wanita yang juga rakan mangsa. – Berita Harian

Spread the news

Lebih 10 rumah dinaiki air 0 12485

Lebih 10 rumah dinaiki air

KUALA TERENGGANU: Fenomena air pasang besar selain hujan berterusan di sekitar daerah ini semalam menyebabkan lebih 10 rumah penduduk di Kampung Losong Haji Mohd, di sini dinaiki air, malam tadi.

Penduduk yang ditemui di kampung berkenaan memaklumkan air mula naik kira-kira jam 9.30 malam.

Tinjauan NSTP mendapati, beberapa rumah yang terletak berhampiran sungai dinaiki air sehingga paras paha. – Berita Harian

Spread the news