KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menyambut ulang tahun pertama pemerintahannya hari ini, berjaya mengangkat martabat Malaysia di arena antarabangsa.
Meskipun diulit pelbagai cabaran politik dan ekonomi demi memenuhi janji kepada rakyat, kerajaan di bawah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terus menjalankan dasar luar negara dan diplomasi secara aktif tanpa rasa gentar atau memihak, melindungi kepentingan negara ketika berdepan cabaran perubahan geopolitik.
Menurut Wisma Putra, di bawah kepemimpinan Dr Mahathir sekarang, Malaysia terus menggalakkan dasar asing, memandang ke hadapan serta pragmatik yang memudahkan perdagangan, menarik pelaburan asing serta mengambarkan Malaysia sebagai negara stabil dan aman.
Antara keputusan penting dibuat kerajaan PH ialah mengundurkan tentera Malaysia dari Arab Saudi tahun lalu. Tentera ditempatkan di sana sejak 2015 bertujuan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Yaman berikutan tercetusnya perang saudara.
Meskipun majoriti negara Islam mempunyai hubungan dengan Israel, Malaysia konsisten dan teguh dengan dasarnya, iaitu terus memperjuangkan nasib rakyat Palestin dan tidak mengadakan sebarang hubungan diplomatik rejim zionis itu.
Malaysia sanggup melepaskan hak menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching selepas enggan membenarkan atlet Israel mengambil bahagian.
Seperti sebelum ini, Asean kekal menjadi asas kepada dasar luar Malaysia dan dalam tempoh setahun ini, Dr Mahathir telah melawat beberapa negara Asean; Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand dan Filipina.
Lawatan beliau ke Filipina dilihat sebagai menyediakan momentum kepada referendum mengenai Undang-Undang Organik Bangsamoro yang diadakan pada 12 dan 6 Februari lalu, dan Malaysia sebagai fasilitator proses damai, komited untuk Proses Damai Mindanao kerana kemakmuran Asean bergantung pada kestabilan serantaunya.
Kunjungan ke negara jiran Thailand, Kuala Lumpur yang menjadi pemudah cara dalam perundingan damai antara kerajaan Thailand dan Majlis Syura Patani (MARA Patani), berjanji akan memberikan apa jua bantuan untuk membantu menamatkan keganasan di selatan wilayah negara itu.
Dikenali sebagai pemimpin yang lantang mengkritik terhadap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Dr Mahathir sekali lagi menarik perhatian dunia dengan mengatakan perlunya perubahan dalam Majlis Keselamatan PBB pada Perhimpunan Agung PBB ke-73 (UNGA) – selepas 15 tahun tidak menyertai perhimpunan badan dunia itu.
Isu Rohingya sangat dekat dengan Dr Mahathir dan PH walaupun sebelum berkuasa. Beliau tegas mengutuk tindakan kerajaan Myanmar dan mengatakan negara itu sepatutnya mencontohi Malaysia yang menerima orang asing apabila ia mencapai kemerdekaan 61 tahun lepas.
Tahun lepas turut menyaksikan Malaysia berjaya mengatasi isu dua hala dengan China dan Singapura.
Dalam tempoh setahun, Dr Mahathir telah melawat China sebanyak dua kali, antaranya bagi menghadiri Sidang Kemuncak dan Forum Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) baru-baru ini.
Sementara itu, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata dua isu utama melibatkan China – projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek Bandar Malaysia – diselesaikan, menandakan pencapaian besar kerajaan PH.
Dalam hubungan Malaysia-Singapura kedua-dua pihak menunjukkan kematangan diplomatik – had Pelabuhan Johor dan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) untuk isu Lapangan Terbang Seletar berjaya dirungkai. Sementara itu, isu maritim dua hala dan semakan harga untuk air mentah yang tidak dirawat yang dijual ke republik itu kini di meja rundingan.
Lawatan Dr Mahathir ke Jepun, rakan dagang penting, merupakan rangsangan kepada hubungan ekonomi dua hala, serta Dasar Timur Dr Mahathir, Malaysia akan meneruskan Dasar Pandang Ke Timur dan terus meningkatkannya.
Korea Selatan dan Malaysia pula bersetuju membawa Dasar Pandang Ke Timur dan Dasar Selatan Baru dengan cara lebih harmoni.
Malaysia juga memperlihatkan pendiriannya kepada dunia, tidak berkompromi terhadap apa jua bentuk keganasan dengan mengutuk serangan pengganas di Sri Lanka dan di Christchurch, New Zealand.
Perhubungan Malaysia dengan Kesatuan Eropah (EU) juga diberi tumpuan, terutama isu minyak sawit dan kepentingan perdagangan. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kunjungan rasminya ke Brussels pada Oktober 2018 bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM), memberi manfaat dalam meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan EU.
Tahun lalu, beberapa pemimpin asing melawat Malaysia, mencerminkan suasana hubungan dua hala yang baharu antara Malaysia dan negara lain di dunia.
Antaranya Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani, Presiden Korea Selatan Moon Jae-in, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Perdana Menteri India Narendra Modi, Naib Presiden Argentina Marta Gabriela Michetti, Perdana Menteri Pakistan Imran Khan dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo.
Dr Mahathir turut melawat Indonesia, China, Jepun, Britain, Pakistan, Singapura, Austria, Senegal dan Papua New Guinea untuk Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik.
Lawatan ke Indonesia dilihat sangat penting kerana Kuala Lumpur dan Jakarta bersetuju untuk bersama-sama berjuang untuk mengatasi kempen negatif Eropah terhadap industri minyak sawit.
Malaysia dan Indonesia dua negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia.
Di Senegal, untuk Persidangan Antarabangsa mengenai Kemunculan Afrika (ICEA-III) ketiga pada Januari, pemimpin berusia 93 tahun itu, satu-satunya ketua kerajaan Asia yang diundang mengambil bahagian dalam persidangan berkenaan.
Lawatan ke Britain, menggambarkan hubungan baik berterusan sejak sekian lama antara Malaysia, bekas tanah jajahan British dan UK.
Bagaimanapun, tidak dinafikan cara Malaysia mengendalikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan isu Statut Rom serba sedikit memberikan kesan kepada dasar luar negara.
Pada 5 April, Dr Mahathir mengumumkan Malaysia akan menarik diri daripada Statut Rom ICC berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat, sambil menegaskan bahawa keputusan itu dibuat bukan disebabkan Statut itu membahayakan negara.
Sementara itu, Saifuddin berkata Kementerian Luar akan lebih berhati-hati dalam menyampaikan maklumat berkaitan perkara dan dasar penting susulan kontroversi yang melanda isu Statut Rom. – BERNAMA