Liverpool kembali ke puncak selepas menang 3-0 0 5947

LIVERPOOL: Liverpool merampas semula carta teratas Liga Perdana Inggeris dengan gol daripada Sadio Mane, Georginio Wijnaldum dan Mohamed Salah membantu mereka menewaskan Bournemouth 3-0, sebentar tadi.

Dua keputusan seri berturut-turut menentang Leicester dan West Ham menyaksikan skuad kendalian Jurgen Klopp itu diatasi Manchester City dengan perbezaan gol, pertengahan minggu lalu.

Tetapi Liverpool memanfaat sepenuhnya kelebihan beraksi lebih awal berbanding penyandang juara itu dengan kembali menjarakkan jurang kepada tiga mata berbanding City yang dijadual bertemu Chelsea, esok.

Klopp sebelum ini mencabar pemainnya supaya ‘menikmati’ keterujaan memburu kejuaraan liga berbanding dibelenggu dengan rasa gemuruh bagi menamatkan penantian 29 tahun Liverpool meraih gelaran.

Justeru, selepas Mane memecah kebuntuan gol pada pertengahan babak pertama, ia meredakan ketegangan di Anfield yang menyaksikan Reds kembali ke landasan kemenangan yang membantu mereka meraih sembilan kemenangan berturut-turut pada November dan Disember.

James Milner yang mengemudi bahagian pertahanan kanan sekali lagi membuktikan impak kehadirannya apabila hantarannya bijak disambar Mane menerusi tandukan untuk gol keempatnya musim ini.

Wijnaldum yang menjadi satu-satunya pertukaran yang dibuat Klopp ketika pasukannya seri 1-1 di West Ham turut membuktikan kehadirannya bermakna apabila pemain tengah Belanda mencetus impak besar.

Sebelum Wijnaldum meledak gol kedua, Salah sepatutnya sudah menggandakan kelebihan Liverpool tetapi cubaannya berpunca hantaran bijak Roberto Firmino menerusi serangan balas pantas berjaya dipintas pertahanan Bournemouth.

Begitupun, 11 minit sebelum babak pertama berakhir, Wijnaldum dengan bijak memperdaya penjaga gol Artur Boruc dan penjaga gol Poland itu sekali lagi tertewas, tiga minit selepas babak kedua bersambung menerusi gerakan licik Salah.

Mane dan Salah mempunyai peluang terbaik untuk menambah jaringan tetapi gagal melaksanakannya dengan Bournemouth kini tewas lapan perlawanan di gelanggang lawan. – AFP

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Ronaldo ledak gol ke-102 0 7768

Ronaldo ledak gol ke-102

LISBON: Cristiano Ronaldo semakin menghampiri rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman ketika juara Eropah, Portugal membelasah Andorra 7-0 dalam saingan persahabatan sebentar tadi.

Bintang Juventus itu masuk dari bangku simpanan untuk meledak jaringan ke-102 gol buat Portugal pada minit ke-85.

Bekas penyerang Iran, Ali Daei memegang rekod dengan 109 gol.

Portugal, yang meneruskan persiapan untuk mempertahankan Kejohanan Eropah tahun depan akan beraksi dalam Liga Negara-Negara berdepan Perancis awal pagi Ahad ini, mudah mengatasi Andorra. – Berita Harian

Spread the news

FAS mungkin tarik diri 0 5383

FAS mungkin tarik diri

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais menegaskan, pihaknya mungkin akan menarik diri dari terus bersaing dalam kancah Liga Malaysia 2021.

Menurutnya, tindakan demikian terpaksa dilakukan sekiranya masalah kewangan dialami masih tidak menemui jalan penyelesaian.

Bagaimanapun katanya, pihaknya sedar pendekatan dilakukan bakal memberi tempias atau kesan terhadap pasukan yang beraksi dalam kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika ini.

“Mungkin kami akan menarik diri dari terus bersaing dalam kancah Liga Malaysia 2021 sekiranya masalah kewangan yang dihadapi ketika ini masih gagal menemui jalan penyelesaian serta tiada pihak yang tampil untuk membantu.

“Memang tindakan berbuat demikian memberi tempias kepada pasukan yang berada di bawah naungan kita kelak,” jelas Datuk Posa kepada Suara Sarawak baru-baru ini.

Beliau menegaskan, tindakan menarik diri dilihat sebagai jalan terbaik untuk mengelak musibah tersebut terus berpanjangan.

Musim ini lima pasukan di bawah badan induk berkenaan bersaing dalam liga anjuran FAM iaitu Sarawak United FC (Liga Premier), Sarawak United II Liga M3), Sarawak United III (Piala Presiden), Sarawak United IV (Piala Belia) dan Sarawak United (Liga Futsal FAM).

Justeru jika keputusan menarik diri terpaksa dilakukan maka secara automatik kesemua lima pasukan ini tidak boleh beraksi dalam sebarang kejohanan anjuran FAM.

Dalam pada itu katanya, pihak pengurusan FAS merakam ucapan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Abdullah Saidol atas sokongan yang diberikan kepada badan induk (FAS) selama – Suara Sarawak

Spread the news