APAKAH 2019 akan menyaksikan selebriti Asia menjadi bintang pujaan di Hollywood selepas kumpulan K-Pop, BTS menguasai pasaran Amerika Syarikat?
Barangkali juga, kemasyhuran yang sedang dinikmati oleh Blackpink memberi petanda bahawa inilah peluang keemasan yang harus direbut oleh artis-artis dari Asia.
Lalu, apabila berita watak perisik Inggeris, James Bond bakal digalas aktor tampan kelahiran Betong, Sarawak, Malaysia, Henry Golding, itu merupakan khabar yang paling manis buat industri hiburan.
Seandainya khabar itu sudah dimeterai dalam kontrak tawaran, tentu sekali Henry bakal melakar sejarah paling cemerlang dalam profil seninya selepas namanya hangat diperkatakan dalam filem Crazy Rich Asians pada 2018.
Sebetulnya, cadangan Henry, 32 tahun, melakonkan watak James Bond itu sudah lama menjadi bahan perbincangan netizen di media sosial.
Bahkan, sewaktu sibuk mempromosikan filem Crazy Rich Asians di Hollywood, nama Henry juga disebut oleh personaliti terkenal Hollywood, Jimmy Fallon ketika aktor tampan itu diwawancara dalam program The Tonight Show Starring Jimmy Fallon. – Astro Awani