KUCHING: Gara-gara meminjam RM1,200, seorang lelaki dipaksa membayar balik RM4,000, malah diugut pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau along baru-baru ini.
Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah yang memberitahu, satu laporan berhubung kejadian telah diterima pihakya pada 5 Julai lepas.
Menurutnya, laporan polis dibuat oleh mangsa berusia 33 tahun selepas dinding dan pagar rumahnya di Batu 12 Jalan Kuching-Serian disemburkan dengan cat merah sebagai tanda amaran memintanya membayar wang tersebut.
“Susulan laporan tersebut, JSJK membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kerana disyaki menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah dan Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam 1951 kerana menggangu atau mengugut peminjam,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini. – Utusan Borneo Online