WASHINGTON: Presiden Donald Trump mencadangkan bom nuklear digugurkan pada taufan sebelum ia tiba di Amerika Syarikat, lapor laman web Axios.
Ketika taklimat mengenai bencana itu, Trump bertanya sama ada pembentukan taufan boleh diganggu di pantai Afrika dengan menggugurkan bom nuklear pada pusat taufan, menurut laman web berita itu.
Menurut sumber tidak dikenali, laman web itu berkata semua yang menghadiri pertemuan itu meninggalkan taklimat itu dengan berfikir, ‘Apa perlu kita lakukan dengan perkara ini?’
Dilaporkan ia bukan kali pertama Trump membuat cadangan seumpama itu.
Pada 2017, Trump meminta pegawai kanan jabatan cuaca sama ada ia perlu menggugurkan bom pada taufan untuk mengelakkan ia mendarat di AS.
Trump tidak menyatakan jenis bom nuklear yang akan digunakan dalam perbualan itu.
Rumah Putih enggan memberi kenyataan, tetapi Axios memetik pegawai pentadbiran kanan sebagai berkata objektif Trump itu ‘boleh tahan’.
Idea Trump bukan perkara baru. Cadangan itu pada awalnya dibuat oleh saintis kerajaan pada 1950-an, ketika pentadbiran Presiden Dwight Eisenhower. — AFP