BALIK PULAU: Seekor penyu tempayan atau ‘Loggerhead’ yang jarang ditemui di perairan Semenanjung Malaysia dilepaskan semula ke laut, di pesisiran Pantai Pasir Belanda semalam.
Penyu betina yang cangkerangnya berukuran 111 sentimeter (cm), lebar kepala berukuran 17 cm dan berat melebihi 60 kilogram itu ditemui seorang nelayan Ang Ta Lim, 46, tersangkut pada pukatnya 7 September lepas berdekatan Pulau Kendi di sini.
Pengarah Jabatan Perikanan Pulau Pinang Noraisyah Abu Bakar berkata penemuan penyu spesies Loggerhead itu sesuatu yang luar biasa, kerana spesies tersebut tidak berasal dari kawasan perairan Malaysia.
“Ini merupakan kali kedua spesies ini ditemui di Malaysia… kali pertama ia direkodkan ditemui di Sarawak. Kebiasaannya ia mendiami kawasan di perairan Lautan Hindi, Mediterranean, Atlantik dan Pasifik.
“Nelayan telah cuba melepaskan penyu tersebut dari pukat namun apabila dilepaskan, penyu itu didapati tidak mampu berenang dengan baik, jadi beliau telah mengambil penyu itu dan menghubungi Jabatan Perikanan dan memaklumkan perkara tersebut,” katanya kepada pemberita selepas pelepasan penyu itu di sini.
Noraisyah berkata orang ramai terutamanya nelayan dan pemancing diminta untuk melaporkan kepada Jabatan Perikanan sekiranya terjumpa penyu yang terdampar atau tersangkut di pukat, untuk tujuan rekod biarpun ia mampu berenang dengan sempurna.
Sesi pelepasan itu turut disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas Azrul Mahathir, ADUN Bukit Tambun Goh Choon Aik, serta 38 kanak-kanak Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) cawangan Surau Pasir Belanda, serta orang awam. — Bernama