LONDON: Jose Mourinho sentiasa tampil dengan perwatakan berbeza sepanjang karier pengurusannya yang dipenuhi kejayaan bersama kelab-kelab gergasi Eropah dan sentiasa menjadi perhatian media, tetapi pengendali baharu Tottenham Hotspur itu kali ini lebih merendah diri.
Ketika sidang media pertamanya di kelab utara London itu selepas menggantikan Mauricio Pochettino yang dipecat Selasa lalu, Mourinho sentiasa tersenyum.
“Saya di dalam tempoh di mana ia bukan berkenaan diri saya sama sekali, ia berkenaan kelab, peminat, pemain-pemain – bukan tentang saya. Saya di sini untuk membantu semua orang,” kata Mourinho yang bercadang untuk tidak membuat rombakan ke atas skuad sedia ada.
“Saya harap saya dapat mempengaruhi pemain-pemain untuk tidak merasa gembira apabila tidak memenangi perlawanan bola sepak. Jika anda gembira apabila tewas perlawanan bola sepak, sukar untuk jadi pemenang sepanjang karier anda.
Bekas pengendali Inter Milan, Real Madrid, Chelsea dan Manchester United itu kini mempunyai tugas berat untuk melonjak kembali Spurs yang berada di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris dan bulan lalu dimalukan Bayern Munich 7-2 dalam saingan Liga Juara-Juara.
Tottenham hanya mempunyai 17 gelaran major dan kali terakhir menjuarai liga ialah pada tahun 1961 dengan kejuaraan berganda. Trofi terakhir diraih ialah Piala Liga 2008. – REUTERS