Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa langkah kerajaan mengembalikan semula subsidi petrol adalah tidak adil kepada rakyat miskin berbanding sistem apungan yang perkenalkannya pada 2014.
“Adalah lebih afdal jika rakyat memahami pendirian saya dan justifikasi terhadap keputusan untuk mengapung harga petrol pada November 2014.
“Pendirian saya mengenai subsidi menyeluruh bagi petrol adalah tidak adil untuk rakyat khususnya golongan miskin,” katanya menerusi Facebook.
Najib berkata, kajian kerajaan BN sebelum ini mendapati golongan berpendapatan tinggi lebih banyak menerima manfaat daripada pengenalan subsidi bahan api itu.
“Bagaimanakah subsidi petrol ini dikatakan adil jika ia lebih memanfaatkan seorang yang kaya memandu sebuah kenderaan mewah setiap hari di dalam bandar yang sibuk berbanding petani di luar bandar yang menunggang motoikal bagi perjalanan dekat.
“Atau seorang kakitangan di pejabat yang menaiki LRT ke tempat kerja setiap hari dan hanya menggunakan keretanya pada hujung minggu?” katanya.
Kerajaan BN memutuskan harga runcit petrol dan diesel menerusi sistem apungan terurus bermula Disember 2014 apabila subsidi bahan api itu dimansuhkan.
Sistem itu mengambil kira beberapa faktor, termasuk harga global minyak mentah dan kekuatan mata wang negara pada bulan sebelumnya.
‘Dapat beri BR1M, naikkan gaji’
Menurut Najib, penjimatan daripada penamatan subsidi petrol itu kemudian digunakan bagi menaikkan gaji kakitangan awam rendah dan bantuan terus melalui bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dipertingkatkan secara berterusan sejak ia diperkenalkan.
“Langkah ini lebih adil dan bersasar berbanding subsidi menyeluruh dalam memastikan golongan miskin menikmati kekayaan negara,” katanya.
Pada 23 Julai lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengulangi hasrat Pakatan Harapan untuk melaksanakansubsidi bahan api bersasar selaras janji manifesto pilihan raya mereka.
“Kerajaan akan memberikan subsidi minyak pada kadar yang sesuai setiap bulan kepada golongan yang layak untuk kegunaan motosikal 125cc ke bawah dan kereta 1300cc ke bawah.
“Satu kuota yang sesuai akan ditetapkan. Mekanisme terperinci sedang dikaji dan akan diumumkan apabila ia dimuktamadkan,” kata Lim.
‘Dr M tak pernah beri subsidi’
Sementara itu bertentangan dengan pelbagai andaian sebelum ini, Najib berkata Tun Mahathir Mohamad tidak pernah memberi subsidi minyak pada masa lalu.
Malah katanya, pentadbiran Mahathir turut mengenakan cukai ke atas bahan api pada kadar 58.62 sen bagi setiap liter petrol dan 19.64 sen bagi setiap liter diesel.
“Beliau boleh mengenakan cukai terhadap bahan bakar itu dan bukan memberi subsidi kerana harga minyak dunia pada masa itu adalah rendah iaitu antara US$10 hingga US$20 setiap tong berbanding US$75 setong pada masa ini.
“Harga minyak dunia juga pernah mencecah US$120 setong semasa saya mentadbir.
“Maka, adalah tidak benar apa yang disebar kononnya pada era itu rakyat menerima subsidi untuk minyak kenderaan,” katanya.
Katanya, ketika Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri pada 1981, harga petrol RON92 adalah 89 sen seliter.
Namun ketika persaraannya pada 2003, harga bahan api naik kepada RM1.35 seliter atau 52 peratus lebih tinggi. – Malaysiakini