Enam nelayan terselamat selepas bot dinaiki karam dipukul ombak besar pada kedudukan 12 batu nautika dari Bintulu, awal pagi tadi.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu yang melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) setelah menerima panggilan kecemasan daripada seorang pengadu dikenali sebagai Harry Tan pada pukul 6.30 pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, pengadu memaklumkan dihubungi tekong bot nelayan yang bernombor pendaftaran SF2-797 itu mengenai kejadian bot mereka tenggelam, dan turut memaklumkan seorang kru hilang.
Berikutan aduan itu katanya, Kapal Maritim (KM) Jepak digerakkan ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan kesemua kru bot nelayan berkenaan.
“Semasa operasi itu, lima kru nelayan terbabit berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang kru diselamatkan oleh sebuah bot nelayan tempatan lain yang berada di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Katanya, KM Jepak yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan semua mangsa dalam keadaan selamat dan dibawa pulang ke jeti perikanan yang berhampiran. – Utusan Borneo Online