KUALA LUMPUR: Perkahwinan lewat, terutama dalam kalangan wanita boleh membawa kesan negatif terhadap institusi kekeluargaan, berikutan penurunan kadar kesuburan dan merencatkan pembangunan sosioekonomi negara.
Laporan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menunjukkan penurunan dalam kadar kesuburan wanita disebabkan berkahwin lewat.
Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah, berkata peningkatan kos sara hidup turut mempengaruhi pembentukan keluarga dan menambah bilangan anak.
Katanya, kajian LPPKN mendapati, biarpun 86.8 peratus penduduk bujang berumur 25 hingga 49 tahun mempunyai hasrat untuk berkahwin, namun isu kewangan menjadi kekangan mereka.
“Perbelanjaan perkahwinan yang tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit, turut menjadi faktor penyumbang kepada aliran kahwin lewat,” katanya kepada BH.
Abdul Shukur berkata, kesukaran mencari pasangan sesuai dalam kalangan lelaki dan wanita bujang ini juga mendorong kelewatan mendirikan mahligai perkahwinan.
Tumpu kerjaya
Katanya, tumpuan kepada kerjaya dengan sasaran berjawatan tinggi dalam kalangan wanita turut menyumbang senario itu.
“Wanita bekerjaya mahu memiliki kehidupan yang stabil dari segi kewangan hingga mereka melupakan hasrat menamatkan zaman bujang.
“Data menunjukkan penyertaan tenaga kerja wanita meningkat dari 46.8 peratus pada 2010 kepada 54.7 peratus pada tahun lalu. Ini membuktikan wanita mementingkan kestabilan karier dan kekukuhan kewangan,” katanya.
Abdul Shukur berkata, penangguhan perkahwinan secara langsung akan memendekkan tempoh umur reproduktif dan menyebabkan kadar kesuburan semakin menurun.
Penurunan kadar kesuburan juga berkait rapat dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi dan cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa muda.
“Bagi ibu bapa muda pada hari ini, mempunyai anak bererti bersedia untuk menyediakan sumber kewangan yang mencukupi dari saat anak dilahirkan hingga tamat belajar pada peringkat tertinggi,” katanya.
Penurunan pesat kadar kesuburan penduduk dalam dekad yang lalu, mempercepatkan proses penuaan negara. – Berita Harian Online