Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjangkakan kenaikan harga barang selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak seteruk semasa penguatkuasaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Timbalan Menterinya Chong Chieng Jen berkata, semasa pelaksanaan GST rakyat membayar cukai berjumlah RM44 bilion kepada kerajaan berbanding anggaran kira-kira RM20 bilion yang akan dikutip menerusi SST.
“Itu bermaksud bahawa rakyat di bawah sistem SST akan membayar kurang cukai sebanyak RM24 bilion kepada kerajaan.
“Oleh itu, saya rasa walaupun (pelaksanaan SST) ada beri kesan ke atas sesetengah harga barangan tetapi ia (SST) tidak akan seteruk beban kos sara hidup semasa kita bawah sistem GST,” katanya (gambar) kepada pemberita, di Johor Bahru hari ini.
Beliau sebelum itu merasmikan ‘1st Step Student Entrepreneurship Programme’ di Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Turut hadir Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Jamil Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner dan Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional Zainuren Mohd Nor.
Chong berkata, pihaknya akan memastikan tindakan penguatkuasaan terus dijalankan menurut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan sebaik sahaja SST dilaksanakan bagi mengelakkan tiada pihak mengambil kesempatan.
Mengenai program hari ini, Chong berkata ia bertujuan menarik minat pelajar untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan.
Katanya dengan adanya bimbingan SSM, beliau percaya para pelajar akan melihat bidang perniagaan sebagai satu lagi pekerjaan yang menjanjikan masa depan cerah selepas mereka tamat pengajian.
“Selagi ada empat unsur iaitu produk yang baik, prosmosi yang baik, pengurusan yang baik dan etika yang baik, anda (pelajar) akan berjaya,” katanya.
Sementara itu, Zahrah berkata menerusi program tersebut para pelajar turut berpeluang mendaftarkan perniagaan mereka dengan SSM melalui Skim 1 Pelajar 1 Perniagaan (1P1P) secara percuma.
Katanya setakat ini, seramai 26,404 pelajar dan mahasiswa sudah mendaftarkan perniagaan mereka di seluruh negara menerusi skim terbabit dengan 24,000 daripadanya adalah perniagaan tunggal dan selebihnya perkongsian.
–Bernama