WAWANCARA | Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad merancang untuk meneliti secara peribadi bagi menangani masalah seperti bilik bedah yang tidak boleh digunakan dan bangunan hospital tidak dibina mengikut spesifikasi atau tertangguh pembinannya.
Bercakap kepada Malaysiakini, Dr Dzulkefly, yang juga pengarah strategi Parti Amanah Nasional, berkata beliau mendapat tahu dari bekas ketua audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang mengenai beberapa penemuan berkaitan dengan kementerian itu dalam laporan audit.
Dr Dzulkefly berkata beliau merancang untuk mengenal pasti kontraktor bermasalah bagi memastikan memastikan hanya kontraktor berkelayakan akan dipilih untuk membida projek membina hospital.
“Baru-baru ini saya bertemu dengan Tan Sri Ambrin… dan beliau melahirkan kebimbangan mengenai beberapa projek kementerian itu di bawah kerajaan dahulu, yang tidak dilakukan mengikut spesifikasi yang betul.
“Ini termasuk bilik bedah yang tidak boleh digunakan di Johor dan pembinaan hospital lewat disiapkan, seperti yang di Shah Alam. Beberapa projek ini dilaksanakan oleh kontraktor yang tidak layak,” kata Dzulkefly.
Oleh itu, Dr Dzulkefly berkata kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan bahawa hanya kontraktor yang layak dipilih dan bangunan dan kemudahan dibina mengikut spesifikasi yang digariskan.
Klinik 1Malaysia
Menteri kesihatan itu juga mengumumkan bahawa Klinik 1Malaysia yang dibuka oleh kerajaan BN akan dijenamakan semula dan dipakej semula sebagai Klinik Rakyat.
Dzulkefly berkata klinik berkenaan akan dikendalikan oleh doktor, tidak seperti keadaan sekarang, di mana ia dikendalikan oleh jururawat atau pembantu perubatan.
Ini, katanya, sejajar dengan dasar kementerian itu untuk memastikan penjagaan kesihatan yang sempurna disediakan untuk rakyat.
Dzulkefly juga memberitahu Malaysiakini bahawa hospital kerajaan kekurangan 16,000 katil di seluruh negara dan berharap sembilan hospital yang sedang dibina akan membantu mengurangkan kekurangan itu.
“Hospital baru, antaranya, sedang dibina di Bera di Pahang, Pendang di Kedah dan Rembau di Negeri Sembilan.
“Hospital di Kuala Krai (Kelantan) sudah siap,” kata Dzulkefly, sambil menambah bahawa Hospital Sri Aman di Sarawak sudah 40 peratus lengkap. – Malaysiakini