KUALA LUMPUR: Pengumuman Kementerian Pengangkutan untuk mengkaji semula had umur bagi mendapatkan lesen kenderaan mendapat pelbagai reaksi masyarakat.
Berdasarkan tinjauan di sekitar ibu kota pada Sabtu, rata-rata yang ditemui bersetuju mengekalkan had umur minimum seperti sedia kala, iaitu 16 tahun bagi motosikal dan 17 tahun bagi kereta.
Antaranya, Safarizan Mohamad Sedek, seorang pelatih polis, yang berpendapat remaja pada usia 16 dan 17 tahun sudah mampu berfikir dengan matang.
“Pada pendapat saya, lesen motor ambil pada 16 tahun sesuai, dan umur 17 untuk ambil lesen kereta sesuai, sebab masa itu, tahap mereka sudah matang,” katanya.
Pandangan yang sama turut dikongsi seorang suri rumah, Faridah Mohd Yatim.
“Anak-anak sekarang, jika tiada lesen, bahaya juga,” tambahnya, menyuarakan kebimbangan dengan kes kemalangan motosikal melibatkan remaja.
Bagi usahawan, Khang Lai Bin, faktor usia bukan suatu masalah.
Sebaliknya, isu remaja yang enggan mengambil ujian memandu untuk mendapatkan lesen kenderaan merupakan masalah yang harus diberi perhatian.
“Masalahnya, mereka tidak mahu hadir ujian untuk ambil lesen. Banyak yang tidak ambil ujian,” katanya.
Beliau bagaimanapun percaya, umur paling sesuai untuk mengambil lesen ialah 18 tahun ke atas. “Ini lebih baik dan lebih selamat,” tambahnya.
Selain itu, pelatih polis, Mohd Naqip Abdul Rahim, turut bersetuju dengan had umur minimum pengambilan lesen yang ditetapkan. – Astro Awani