JULAU: Mayat seorang wanita telah ditemui manakala dua lagi masih hilang dalam satu tragedi bot karam yang berlaku di Nanga Ensiring, petang kelmarin.
Jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau berkata, dalam kejadian tersebut sebuah perahu yang dinaiki oleh empat orang penumpang dari sebuah keluarga karam di kawasan yang dikenali sebagai Lubuk Sepali, dekat sini.
“Kejadian ini dipercayai berlaku sekitar jam 5 petang semasa mereka sedang dalam perjalanan balik ke rumah panjang mereka di Nanga Ensiring, Julau.
Hanya seorang lelaki yang berusia 25 tahun dan juga merupakan pemandu bot terselamat dalam kejadian ini.
Mayat seorang mangsa yang dikenali sebagai Lenny Ingang, wanita berusia 54 tahun telah ditemui di kawasan tebing sungai berhampiran dengan Rumah Gani, Wong Bar, Julau pada pukul, 12.30 tengahari.
“Sementara itu, Eviline Linty Kaya, 23 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki , Kelvin Sama Markus, 6 tahun masih lagi belum ditemui,” katanya.
Pasukan SAR meneruskan usaha mencari dua orang lagi mangsa yang hilang di Nanga Ensiring Julau.Kesemua mangsa yang terbabit dengan tragedi ini berasal dari Rumah Bedali, Nanga Ensiring, Julau.
Dalam masa yang sama juga, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) yang melibatkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamatdan juga penduduk kampung telah diteruskan untuk menjejaki mangsa. – Utusan Borneo Online