Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown masih lagi tersenarai sebagai mereka yang dilarang daripada memasuki negeri ini.
“Dia masih di dalam senarai itu sejak zaman pemimpin terdahulu.
“Saya belum membuat keputusan (sama ada menarik balik larangan itu),” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian kuih raya kepada pasukan keselamatan, Sumbangsih Kuih Raya 2018, di Kuching, hari ini.
Sebelum ini, Gerakan untuk Perubahan Sarawak (MoCS) mendesak Abang Johari supaya menarik balik sekatan masuk terhadap pengarang Sarawak Report itu.
Rewcastle-Brown tiba di Kuala Lumpur awal minggu ini selepas Pakatan Harapan merampas Putrajaya dan waran tangkap terhadap pengarang itu dibatalkan.
Pemimpin MoCS Francis Siah berkata, Rewcastle-Brown, yang lahir di Bumi Kenyalang, harus dibenarkan masuk ke negeri itu.
Menurut beliau, ramai rakyat Sarawak ternanti-nanti untuk bertemu wanita itu.
“Saya gesa Ketua Menteri Abang Johari Abang Openg menarik balik sekatan terhadapnya.
“Biar saya ingatkan dia, dalam PRU14, rakyat Sarawak sudah bersuara dengan kuat dan jelas.
“Dengan meneruskan dasar menindas (Tun) Taib Mahmud, BN akan dihukum dengan seteruk-teruknya dalam pilihan raya negeri akan datang,” katanya.
Siah berkata, Rewcastle-Brown hanya ‘bersalah’ kerana menyiarkan laporan eksklusif yang memperincikan dakwaan rasuah pemimpin-pemimpin kanan negeri.
“Rewcastle-Brown bukan ancaman pada keselamatan Sarawak dan kami tuntut beliau dibenarkan melawat negeri ini,” katanya.
Rewcastle-Brown ialah seorang wartawan penyiasatan British yang secara terbuka mengkritik BN Sarawak melalui Sarawak Report – yang turut terkenal dengan pendedahannya dalam skandal 1MDB.
Kerajaan Malaysia terdahulu pimpinan Datuk Seri Najib Razak mengeluarkan waran tangkap padanya pada 2015 atas alasan “mengancam demokrasi berparlimen”. – Malaysiakini