SARIKEI: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini menegaskan pendekatannya adalah berbeza dengan pendekatan Pehin Sri Adenan Satem atau Tok Nan dalam mentadbir Sarawak.
“Saya ada berubah sikit daripada Tok Nan. Ne dapat sama Tok Nan. Tok Nan lain, saya lain.
“Muka Tok Nan lain, muka saya lain. Mun kita sama, susahlah orang nak cari beza di antara saya, Tok Nan. Can’t be sama. Itu fitrah manusia,” katanya sewaktu berucap pada Program Sejiwa Senada Meradong di Bintangor pagi tadi.
Menurutnya, beliau menyambut usaha yang dilakukan oleh Tok Nan selama ini, terutamanya mengambil kembali hak-hak kita kembali ke Sarawak secara berhemah.
“Saya terus persoalkan…sebab itu ia termasuk dalam manifesto Barisan Nasional,” katanya lagi.
Krediit foto : Seraong Emas
Pendekatan beliau tegasnya, berubah kerana dunia telah berubah.
“Saya anjurkan pendekatan pembangunan melalui teknologi iaitu menggunakan teknologi.
” Selepas saya menjadi Ketua Menteri, saya anjurkan Seminar Idecs dan telah menerima kehadiran tokoh-tokoh dunia.
“Ini termasuk Don Topscott, penganjur ekonomi digital yang terkejut dengan minat Sarawak di Borneo untuk mentransformasikan ekonominya kepada ekonomi digital,” tambahnya lagi.
Katanya, beliau memberi peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk memastikan internet di negeri ini berhalaju tinggi, termasuk di Maradong.
“Ini kerana saya mahukan internet berhalaju tinggi untuk menggunakan teknologi baharu selain membolehkan perhubungan cepat, pertanian cepat dan memasarkan produk pun cepat.
Katanya, beliau mahu kepantasan internet ini dianjakkan daripada 6 mbps kepada 100 mbps hingga 150 mbps. –Sarawakvoice