LIMBANG: Seorang warga Brunei maut selepas kereta yang ditumpanginya terlibat dalam kemalangan yang membabitkan dua buah kenderaan dari negara yang sama.
Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Alexson Naga Chabu ketika mengesahkan insiden memberitahu, kemalangan berlaku di Kilometer 18 Jalan Mendamit, di sini sekitar jam 2.45 petang semalam.
“Ketika kejadian, sebuah kenderaan jenis KIA Cerato yang dipandu oleh seorang wanita berusia 26 tahun sedang bergerak dari arah Tedungan menuju pusat bandar Limbang.
“Tiba di lokasi kejadian, kenderaan tersebut gagal dikawal lalu terbabas ke sebelah kanan jalan dan bertembung dengan sebuah kenderaan Toyota Vios yang datang dari arah bertentangan, yang dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun dari Kampung Mata-mata, Brunei.
Pertembungan tersebut menyebabkan penumpang Toyota Vios iaitu bapa kepada pemandu kenderaan tersebut yang berusia 66 tahun meninggal dunia serta-merta.
Kematian dipercayai berpunca daripada kecederaan parah pada bahagian kepala dan kaki.
Pemandu Toyota Vios terbabit pula parah setelah patah kedua-dua kaki dan leher.
Pemandu Kia Cerato pula patah kaki manakala rakan penumpangnya, wanita berusia 23 tahun cedera ringan.
Kesemua mereka yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Limbang, manakala mangsa yang maut dihantar dengan kenderaan polis ke Unit Forensik hospital yang sama untuk bedah siasat.
Identiti mangsa yang malang tersebut kemudian dikenal pasti sebagai Hamdan Abdullah, yang turut mempunyai kad pengenalan Malaysia.
Kes kata Naga Chabu, disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 –Sarawakvoice