KUCHING: Isu nasional diyakini tidak mempengaruhi pengundi di Parlimen Santubong, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata, pengundi boleh menilai pembaharuan serta pembangunan yang dibawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama.
Katanya, pembangkang yang ingin bertanding di kawasan itu dinasihatkan tidak membuat fitnah serta membawa cerita bohong dalam usaha untuk menarik sokongan pengundi
“Di Santubong tiada perkara boleh dibangkitkan yang boleh gugat sokongan rakyat kepada BN. Selama ini pun kerajaan persekutuan dan negeri membawa banyak pembangunan kepada penduduk dan jika terus dipilih lebih banyak lagi kemajuan akan dibawa,” katanya.
Wan Junaidi, penyandang kerusi Parlimen Santubong sejak 2004 berkata demikian selepas menghadiri program Jualan Sentuhan Rakyat semalam.
Beliau berkata, kerajaan persekutuan dan negeri akan membina 8 jambatan di sepanjang laluan Lundu-Sampadi-Rambungan di Parlimen itu.
Katanya, pembinaan tersebut merangkumi jambatan baharu iaitu jambatan Rambungan, manakala 7 lagi jambatan konkrit bagi menggantikan jambatan struktur besi sedia ada.
“Jambatan yang siap nanti akan melengkapkan jalan pesisir Sarawak seterusnya memacu pembangunan kampung di sepanjang laluan itu seperti Kampung Telaga Air, Kampung Sungai Limo dan Kampung Sampadi.
“Produk pertanian penduduk dari kawasan sekitar akan lebih mudah untuk dibawa ke Kuching, begitu juga kawasan tarikan pelancong di Lundu akan lebih mudah untuk dilawati,” katanya.–BERNAMA