KUCHING: Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan oleh Pengerusinya Datuk Seri Najib Razak malam tadi disifatkan sebagai menukik ke jantung jati dan aspirasi rakyat di Sabah dan Sarawak.
Penganalisis politik menyifatkan manifesto 220 muka surat itu sebagai membuktikan komitmen dan pemahaman Najib terhadap aspirasi kedua-dua negeri.
Najib telah berkunjung ke Sarawak sebanyak 60 kali ke 163 lokasi sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2009.
Justeru, manifesto BN berdepan pilihan raya umum ke-14 antara lain ialah memenuhi Perjanjian Malaysia 1963 berdasarkan konsensus.
Ia juga berjanji untuk memperkenalkan sekolah beraliran Inggeris di Sabah dan Sarawak sebagai projek rintis, menghapuskan harga berbeza untuk Semenanjung Malaysia dan Sabah-Sarawak, dan memperkasa komuniti Dayak dan Kadazandusun.
Janji-janji lain ialah menaik taraf rumah panjang, mencerap lebih banyak fakta dan perspektif dari Sabah dan Sarawak dalam mata pelajaran Sejarah, menyalurkan RM2.3 bilion untuk meluaskan liputan bekalan elektrik dan meningkatkan kualiti liputan telekomunikasi dengan peruntukan RM2 bilion.
Manifesto bertemakan ‘Bersama BN, Hebatkan Negaraku’ disiarkan secara langsung melalui beberapa stesen televisyen. –Sarawakvoice