KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak hari ini menyerbu karnival jualan murah di Stadium Perpaduan.
Timbalan Pengarah KPDNKK Sarawak, AbdulHafidz Abdul Rahim berkata 168 unit pasang kasut daripada pelbagai jenama dipercayai barangan tiruan bernilai RM8,400 dirampas dalam operasi yang dilakukan oleh sekumpulan anggota penguatkuasaan itu.
Menurutnya, serbuan dilakukan setelah menerima aduan orang ramai yang memaklumkan terdapat barangan tiruan dijual di sini.
“Hasil daripada serbuan yang dilakukan, kita telah menyita sebanyak 168 unit pasang kasut daripada pelbagai jenama, dipercayai tiruan dengan nilai rampasan berjumlah RM8,400,” katanya ketika ditemui pada serbuan itu.
Abdul Hafidz turut memberitahu peniaga akan dikenakan denda maksimum RM10,000 bagi sepasang kasut atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Manakala untuk syarikat perbadanan, mereka boleh didenda maksimum RM15,000 bagi setiap pasang kasut untuk kesalahan pertama dan kesalahan kedua RM35,000 untuk setiap pasang,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011. -Utusan Borneo Online