KUCHING: Hasrat 2.7 juta rakyat Sarawak untuk memiliki stesen televisyen yang berpangkalan di negeri ini akan menjadi kenyataan tidak berapa lama lagi.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, stesen televisyen itu nanti akan digunakan, antara lain untuk menjelaskan dasar dan langkah baharu yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
“Mengapa kita nak tubuhkan stesen TV sendiri sedangkan kita ada RTM? Jawapannya kita nak waktu siaran. Kedua, penjelasan dasar kepada rakyat dengan cepat. Kandungan amat penting,” katanya dalam satu majlis di sini semalam.
“Kita dapat hantar maklumat kepada penonton dan pendengar. Coz kita nak jelaskan beberapa dasar supaya orang kampung tahu. Termasuk tentang teknologi terkini,” jelasnya lagi.
Ujarnya, kalau mereka tidak tahu, tentu sukar untuk melaksanakan dasar yang diperkenalkan kerajaan.
“Jika kita hendak bercakap tentang teknologi mungkin mereka mungkin tak faham, dan apabila kita jelaskan melalui televisyen, mereka akan faham,” katanya lagi.
“Kita boleh jelaskan melalui rancangan tv tentang apa-apa pembaharuan yang diperkenalkan oleh kerajaan,” jelasnya.
Namun, Abang Johari tidak menjelaskan lanjut bila TV berkenaan akan ditubuhkan.
“Bila hendak dilaksanakan saya tidak boleh jelaskan kerana masih dalam perbincangan. Mungkin dekat juga,” katanya, sambil berseloroh.
Beliau telah mencetuskan idea tentang penubuhan TV yang berpangkalan di Sarawak beberapa bulan lalu.
Ketika ini, stesen TV yang berpangkalan di
Semenanjung, terutama stesen swasta tidak menyiarkan berita tentang Sarawak pada kadar kekerapan yang memuaskan. –Sarawakvoice