UCHING: Suspek rompak pemandu Grab yang melarikan kereta pada 23 Mac lepas diberkas polis menerusi serbuan di hotel di Tabuan Jaya, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata kereta pemandu Grab tersebut ditemui di sebuah bengkel di Jalan Datuk Stephen Yong.
“Semasa serbuan dilakukan, suspek cuba melarikan diri melalui tingkap sebelum ditangkap bersembunyi di dalam stor tidak jauh dari hotel.
“Suspek semasa disoal siasat mengaku merompak dan memberitahu telah menjual kereta di sebuah bengkel di Jalan Datuk Stephen Yong dengan harga RM1,000.
“Pasukan D9 kemudian menyerbu bengkel tersebut,” katanya menerusi kenyataan media hari ini. Kereta tersebut dipisah kepada beberapa bahagian dan nombor chasisnya juga dirosakkan.
Lelaki pemilik bengkel berusia 39 tahun juga diberkas dan kereta disita sebagai bahan bukti. Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan.
“Suspek utama direman selama tujuh hari, manakala pemilik bengkel tersebut akan dipohon reman esok,” katanya.
Dalam insiden itu, pemandu Grab, wanita berusia 45 tahun mengambil penumpang di sebuah rumah di Stapok, dan menghantarnya ke Jalan Stakan.
Bagaimanapun suspek kemudian meminta mangsa menghantarnya ke Muara Tuang untuk mengambil motosikalnya sekitar jam 10 malam sebelum mengacukan parang di leher mangsa.
“Suspek kemudian terus melarikan diri bersama-sama kereta mangsa dan telefon bimbit serta dokumen peribadinya.
“Mangsa kemudian mendapatkan bantuan dan terus ke Balai Polis Sekama untuk membuat laporan polis,” katanya.
Ekoran kejayaan itu, Dev memuji kecekapan pasukan polis D9 kerana berjaya memberkas suspek dalam tempoh kurang seminggu. -Utusan Borneo Online