SIBU: Seorang pegawai Imigresen maut manakala isterinya cedera dalam satu kemalangan di Jalan Sibu-Tanjung Manis, petang semalam.
Mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Hazlee Kiprawi, 35, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya,23 tahun patah tangan kanan.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa bersama isterinya dalam perjalanan dari Sibu ke Tanjung Manis apabila kereta yang dinaiki terbabit dalam nahas berhampiran Jambatan Lebaan, sekitar jam 6.30 petang.
“Siasatan awal pihak kami mendapati kereta yang dipandu mangsa telah masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan sebuah pacuan empat roda,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pemandu pacuan empat roda, 36 dan seorang penumpang, 50, bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan.Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Kata Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Pasukan Bomba, terdiri daripada 14 orang anggota dan pihak ambulans juga berada di lokasi kejadian untuk menghulurkan bantuan. – Utusan Borneo Online