KUCHING: Suspek utama kes pembunuhan wanita China, yang ditemui hanya bahagian kepalanya pada 3 Mac lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Sri Aman pada jam 2.30 petang esok.
Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar berkata, suspek merupakan suami mangsa, ditahan sehari selepas kepala tersebut ditemui dan selepas pengecaman identiti oleh bapanya.
“Kertas siasatan telah diedarkan kepada Pejabat Pendakwaan Negeri Sarawak semalam dan setelah mengkaji segala keterangan, pasukan pendakwa berpuas hati bahawa terdapat bukti dan ‘prima facie’ yang mencukupi untuk menuduh suami mangsa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Setakat ini, pasukan siasatan katanya, masih gagal menemukan bahagian badan mangsa.
Pada 4 Mac lalu, polis Sarawak telah mengenal pasti kepala manusia yang ditemui di tebing Batang Lupar, Jalan Skait Lama, Sri Aman sehari sebelumnya, sebagai milik seorang warganegara China berusia 31 tahun.
Wanita terbabit telah berkahwin dengan suspek, yang juga seorang usahawan tempatan pada tahun 2011 dan menetap di Sri Aman.
Mereka dikurniakan dua orang anak.
Setelah pengecaman oleh bapanya, suami mangsa telah disoal siasat dan mendakwa isterinya telah hilang beberapa hari sebelum itu.
Suspek bagaimanapun tidak membuat laporan polis atas alasan tertentu.
Disebabkan keterangan yang meragukan, suami mangsa yang berusia 42 tahun telah ditahan pada petang yang sama. –Sarawakvoice