KUCHING: Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Negara Senator Datuk Seri Abdul Halim Abd. Samad mengaku banyak yang dapat dipelajari tentang Sarawak dengan masyarakatnya yang saling menghormati dan hidup dalam suasana harmoni.
Beliau memuji kepimpinan Kerajaan Negeri yang disifatkan berjaya mentadbir negeri dengan baik dan berjaya menyatu padu semua lapisan rakyat.
“Meskipun rakyatnya berbilang kaum dan agama, semuanya dapat hidup bersama di bawah satu bumbung,” akui Abdul Halim kepada media semasa melawat Taman Kekal Pengeluaran Makanan, Stesen Pertanian Rampangi pada Rabu.
Abdul Halim melawat Sarawak 5-8 Februari bersama rombongan terdiri daripada 12 peserta.
Taman Kekal Pengeluaran Makanan, Stesen Pertanian Rampangi seluas hampir 20 hektar terletak sekitar 20 kilometer dari bandar raya Kuching mengusahakan tanaman seperti tomato, cili, tembikai, sayuran dan sebagainya.
Berkaitan lawatan tersebut, beliau turut memuji kerajaan negeri berjaya melaksanakan dasar pertanian moden berasaskan sistem digital yang mengikut peredaran zaman.
Selain diberi taklimat oleh pegawai pertanian, rombongan berkenaan turut melawat Sistem Perlindungan Hujan serta beberapa projek tanaman usahawan.
Rombongan yang dibawa melawat rumah panjang di Sarawak, turut mendengar taklimat berkaitan politik negeri ini daripada Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Sementara, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar menyampaikan taklimat sejarah Sarawak. –Sarawakvoice