KUCHING: Suasana hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kolong I pagi ini, apabila jenazah dua beranak yang terlibat dalam kemalangan bas sekolah di Bintulu semalam dikebumikan.
Mangsa ialah pemandu bas, Ramnelan Samat, 55 tahun dan anaknya Nur Nadia Syakila, yang berusia 9 tahun.
Kedua-dua jenazah tiba di Kampung Kolong jam 9 pagi tadi dari Bintulu.
Seorang lagi mangsa yang maut ialah Aien Laila Aiesya Abdullah, 11 tahun akan dikebumi di Bekenu, Miri.
Dalam insiden sekitar jam 6.30 pagi semalam, bas sekolah yang dipandu Ramnelan terlibat dalam kemalangan apabila merempuh lori kargo yang membawa batang paip.
Kejadian berlaku di Kilometer 12, Jalan Miri-Bintulu dengan kenderaan bergerak dari Samalaju menuju bandar Bintulu.
Selain tiga maut, bas yang membawa 22 pelajar itu turut menyaksikan tujuh yang lain cedera termasuk seorang parah.
Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Alexson Naga Chabu kemudian mengesahkan pemandu lori terlibat telah ditahan bagi membantu siasatan.
Siasatan awal mendapati suspek gagal menyediakan penanda lori rosak yang mengcukupi ketika memparkir lorinya yang rosak di tepi jalan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. — SarawakVoice