BOURNEMOUTH, United Kingdom: Gol lewat dramatik Marcus Rashford menandakan kebangkitan Manchester United ketika mereka mengekalkan rentak dengan kemenangan 2-1 mengatasi Bournemouth malam tadi.
Gol jarak dekat Rashford hadir selepas jaringan Anthony Martial menyamakan kedudukan hasil jaringan awal Callum Wilson buat Bournemouth di Dean Court.
Ia adalah kemenangan ketiga United dalam empat saingan terakhir Liga Perdana, meneruskan rentetan prestasi baik dimulakan dengan kemenangan tempat sendiri mengatasi Newcastle United apabila skuad Jose Mourinho bangkit daripada ketinggalan dua gol.
Keputusan itu memperkuatkan kepercayaan Mourinho bahawa skuad miliknya sedang meningkat walaupun pengurus United itu boleh dengan mudah berdepan kekalahan jika tuan rumah berjaya mengambil peluang awal.
Mourinho menyatakan keyakinannya sebelum perlawanan bahawa posisi United dalam Liga Perdana akan tampak berbeza menjelang babak kedua musim ini.
Mourinho bagaimanapun pastinya sedar lebih banyak yang akan dihadapinya jika mereka mahu kembali menghidupkan peluang untuk kedudukan empat teratas.
Romelu Lukaku menjadi pemain yang tidak diturunkan dengan Mourinho mendedahkan sebelum perlawanan bahawa penyerang itu tidak dibawa selepas mengalami kecederaan sehari sebelum itu.
“Dalam latihan semalam, selepas sidang akhbar, dia merasa masih perlu berehat beberapa hari,” kata Mourinho.
“Jadi Lukaku tidak datang dan kami mengambil keputusan untuk memulakan saingan dengan Alexis (Sanchez).” – AFP