KUCHING: Pembentangan Bajet Negeri Sarawak yang dibentangkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini adalah yang terbaik, sekali gus wajar menjadi contoh kepada negeri lain.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol berkata, bajet kali ini adalah sangat berjiwa rakyat khususnya kepada kawasan pedalaman, serta realisitik.
“Cara draf, inti pati dan pembentangannya semasa membentangkan bajet sangat jelas.
“Ia juga menunjukkan Ketua Menteri bijak menguruskan kewangan yang menunjukkan betapa berhemahnya kita berbelanja,” katanya ditemui pemberita di lobi Kompleks Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Abdullah berkata, apa yang menarik kali ini adalah dana digunakan untuk bajet negeri tidak menggunakan rizab negeri.
“Ini menunjukkan kita berupaya menguruskan kewangan sendiri dengan baik serta perbelanjaan yang disenaraikan mempunyai butiran lanjut dan terperinci,” ujarnya.
Menurutnya lagi, perbezaan antara bajet negeri dan bajet persekutuan adalah sangat ketara dimana bajet kerajaan pusat sangat umum dan masih samar-sama berbanding bajet negeri lebih berpaksikan kepada rakyat dan pembangunan luar bandar.
Abdullah berkata, 70 peratus daripada bajet negeri lebih tertumpu kepada luar bandar iaitu pembangunan bekalan air, elektrik dan jalan raya.
“Semangat dan jiwanya (Ketua Menteri) adalah untuk membangunkan luar bandar bagi mengimbangi jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar,” jelasnya lagi.
Menurutnya, rekod pendapatan negeri juga akan meningkat buat pertama kali pada tahun depan sebanyak 10 billion.
“Ini akan mengukuhkan lagi kedudukan kewangan kita,” tegasnya lagi.
Sementara itu, Abdullah turut memuji inisiatif Ketua Menteri yang memperuntukan sebanyak RM1,000 kepada setiap bayi yang lahir di Sarawak mulai tahun depan sebagai satu ‘buah tangan’ kepada rakyat di negeri ini. – Utusan Borneo Online