KABONG: Tidak puas hati hanya sekadar berada di atas jeti memerhati dari jauh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang berusaha menjejak budak perempuan hilang yang masih belum ditemui, ADUN Kabong, Mohd. Chee Kadir akhirnya turun padang dengan menaiki bot bagi turut menyertai operasi mencari pada jam 4.15 petang semalam.
Operasi SAR yang digerakkan oleh jabatan bomba dan pelbagai agensi penyelamat yang lain dengan disertai penduduk kampung menjejak mangsa dengan kaedah mencari di kawasan sekitar hingga ke kawasan muara sungai di sini dan juga ke bahagian hulu sungai.
Menurut Chee beliau berasa amat simpati dengan kedua ibu bapa mangsa sejak anak mereka hilang.
Dan atas rasa tanggungjawab itulah beliau katanya turut menyertai operasi SAR bagi mengetahui dengan lebih dekat bagaimana operasi dijalankan.
“Saya berterima kasih kepada semua agensi yang terlibat mencari termasuk penduduk yang turun secara sukarela bagi membantu operasi.Semoga usaha yang digerakkan dipermudah Maha Kuasa dan kita berdoa semoga mangsa cepat dijumpai, “ujarnya.
Turut berada dalam bot yang sama Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman, Haji Bujang Lee, dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kabong, Mat Jengkey.
Penolong Penguasa Balai Bomba Saratok, Nazry Mohamat, yang bertugas di lokasi pencarian memberitahu radius pencarian adalah sejauh tiga hingga empat kilometer ke hulu dan hilir sungai dengan menggunakan kaedah ‘Water Surface Searching’ bermula dari kawasan mangsa dikatakan jatuh.
Pencarian yang memasuki hari kedua semalam berjalan dengan lancar lantaran cuaca yang cukup elok. Namun usaha operasi SAR nyata belum membuahkan hasil sehinggalah operasi di tangguhkan seketika jam 6. 30 petang.
Pasukan bomba dan penduduk kampung masih berada di jeti sehingga lewat malam tadi. Sehingga jam 9. 00 pagi ini mangsa masih belum ditemui. –Sarawakvoice