Menyamai rekod United sasaran The Citizens musim ini 0 5797

MANCHESTER, England: Sasaran Manchester City musim baharu ini ialah untuk menyamai rekod Manchester United yang memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris berturut-turut tetapi walaupun pengurus kelab, Pep Guardiola, mengenepikan cita-cita memburu kejuaraan Liga Juara-Juara, saingan di Eropah itu mungkin menjadi gangguan.

City menguasai liga domestik sejak awal musim 2017/2018.

Mereka mengutip 198 mata pada dua musim itu dan memecah rekod untuk kemenangan paling banyak dalam Liga Perdana pada musim 2017/2018 sebelum menyamainya tahun lepas selain memperbaiki rekod menjaringkan 163 gol dalam semua pertandingan pada musim 2018/2019.

Kejuaraan pertama treble (tiga kejuaraan) domestik dilengkapkan dengan kemenangan bergaya 6-0 ke atas Watford di final Piala FA pada bulan Mei tetapi dari semua kejayaan domestik di bawah kendalian Guardiola, masih ada satu lagi sasaran utama yang belum dicapai – kejuaraan Eropah.

“Saya sudah berkata sebelum ini ialah untuk City berada di kedudukan yang mereka mahu, saya fikir mereka perlu memenangi Liga Juara-Juara,” kata pemain pertahanan kelab, Kyle Walker.

“Saya fikir beberapa pemain dalam bilik persalinan sudah mencapai begitu banyak dalam karier mereka dan melakukan begitu banyak untuk bola sepak tetapi tidak memenangi Liga Juara-Juara. Jadi kami berhutang dengan mereka dan diri kami sendiri.”

City sekali lagi tersingkir di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara – kali ini kepada Tottenham Hotspur. Mereka pernah melangkah ke peringkat separuh akhir hanya sekali dalam sejarah kelab dan tidak pernah beraksi di final.

Bagaimanapun, Guardiola cuba meletakkan usaha memburu kejuaraan Eropah dalam satu perspektif selepas City menewaskan Liverpool menerusi penentuan sepakan penalti untuk memenangi perlawanan pembuka tirai musim baharu – Piala Perisai Komuniti Ahad lepas.

“Liga Juara-Juara adalah satu kejohanan yang penting, sukar untuk dimenangi,” kata beliau. “Tetapi saya tidak mahu pergi ke kasino dan bertaruh semua yang saya ada dalam poket untuk tujuh perlawanan.

“Saya akan menerima apa yang kami lakukan musim lepas pada musim baharu. Bukan memenangi Liga Juara-Juara dan empat kejuaraan lain,” tambah beliau selepas menambah kejuaraan treble dengan kejuaraan Piala Perisai Komuniti.

Dalam usaha meneruskan penguasaan bola sepak domestik dan mengintai kejayaan di Eropah, City telah memecah rekod perpindahan sekali lagi dengan mendapatkan pemain tengah, Rodri, dengan Guardiola mahu menyelesaikan salah satu permasalahan dalam pasukan.

“Kami mengetahuinya tetapi hari ini saya boleh memberi jaminan di mana kami mempunyai pemain tengah bertahan yang sangat bagus untuk dekad akan datang, atau sekurang-kurangnya tiga tahun kontrak beliau di sini,” kata Guardiola.

Fernandinho adalah penting kepada sistem City di posisi tengah bertahan. Apabila pemain itu tidak beraksi musim lepas kerana kecederaan, City mencuba pelbagai taktik tetapi tidak kelihatan mantap.

Sekarang, Guardiola percaya beliau bukan sahaja mempunyai tambahan yang dialu-alukan dalam jangka masa pendek, tetapi pengganti jangka panjang Fernandinho.

Pramusim menghasilkan beberapa kemenangan besar, dengan kecergasan lebih bagus untuk pemain perancang, Kevin De Bruyne, yang menghabiskan kebanyakan musim lepas di bilik persalinan dan ia akan memberikan kelebihan tambahan kepada City.

Guardiola juga menggambarkan pemain tengah muda, Phil Foden sebagai pemain “paling berbakat” yang beliau lihat tetapi tiada banyak pilihan di bahagian pertahanan selepas kapten pasukan, Vincent Kompany, meninggalkan kelab.

Cabarannya dijangka sama dengan naib juara liga musim lepas, Liverpool, dijangka mengekalkan saingan memburu kejuaraan liga yang pertama mereka sejak beberapa dekat selepas terlepas peluang dengan kekalahan hanya satu mata kepada City musim lepas. — Reuters

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Ronaldo ledak gol ke-102 0 7581

Ronaldo ledak gol ke-102

LISBON: Cristiano Ronaldo semakin menghampiri rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman ketika juara Eropah, Portugal membelasah Andorra 7-0 dalam saingan persahabatan sebentar tadi.

Bintang Juventus itu masuk dari bangku simpanan untuk meledak jaringan ke-102 gol buat Portugal pada minit ke-85.

Bekas penyerang Iran, Ali Daei memegang rekod dengan 109 gol.

Portugal, yang meneruskan persiapan untuk mempertahankan Kejohanan Eropah tahun depan akan beraksi dalam Liga Negara-Negara berdepan Perancis awal pagi Ahad ini, mudah mengatasi Andorra. – Berita Harian

Spread the news

FAS mungkin tarik diri 0 5233

FAS mungkin tarik diri

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais menegaskan, pihaknya mungkin akan menarik diri dari terus bersaing dalam kancah Liga Malaysia 2021.

Menurutnya, tindakan demikian terpaksa dilakukan sekiranya masalah kewangan dialami masih tidak menemui jalan penyelesaian.

Bagaimanapun katanya, pihaknya sedar pendekatan dilakukan bakal memberi tempias atau kesan terhadap pasukan yang beraksi dalam kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika ini.

“Mungkin kami akan menarik diri dari terus bersaing dalam kancah Liga Malaysia 2021 sekiranya masalah kewangan yang dihadapi ketika ini masih gagal menemui jalan penyelesaian serta tiada pihak yang tampil untuk membantu.

“Memang tindakan berbuat demikian memberi tempias kepada pasukan yang berada di bawah naungan kita kelak,” jelas Datuk Posa kepada Suara Sarawak baru-baru ini.

Beliau menegaskan, tindakan menarik diri dilihat sebagai jalan terbaik untuk mengelak musibah tersebut terus berpanjangan.

Musim ini lima pasukan di bawah badan induk berkenaan bersaing dalam liga anjuran FAM iaitu Sarawak United FC (Liga Premier), Sarawak United II Liga M3), Sarawak United III (Piala Presiden), Sarawak United IV (Piala Belia) dan Sarawak United (Liga Futsal FAM).

Justeru jika keputusan menarik diri terpaksa dilakukan maka secara automatik kesemua lima pasukan ini tidak boleh beraksi dalam sebarang kejohanan anjuran FAM.

Dalam pada itu katanya, pihak pengurusan FAS merakam ucapan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Abdullah Saidol atas sokongan yang diberikan kepada badan induk (FAS) selama – Suara Sarawak

Spread the news