PM Najib umum lima hadiah istimewa untuk warga pekerja 0 5569

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membawa khabar gembira untuk warga pekerja khususnya di sektor swasta dengan pengumuman lima ‘hadiah’ bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan mereka dalam ekonomi dan pembangunan negara.

Beliau berkata antaranya ialah kerajaan akan menyediakan peruntukan geran khas sebanyak RM3 juta kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebagai menghargai wala’ dan kesetiaan warga pekerja kepada kerajaan dan negara selama ini.

“Pemberian geran khas ini akan dibuat pada tahun ini dan terpulang kepada MTUC bagaimana untuk mengagihkan kepada kesatuan-kesatuan sekerja yang lain,” kata beliau semasa berucap di hadapan ribuan warga pekerja yang menghadiri sambutan Hari Pekerja 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Beliau menekankan bahawa seluruh warga pekerja di sektor awam dan swasta serta majikan dan 742 kesatuan sekerja di seluruh negara adalah ‘darah daging’ kepada tanah air ini.

Mengumumkan hadiah kedua, Najib berkata jika ditakdirkan Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerajaan akan menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,000 dan RM920 sekarang kepada kadar baharu yang akan diumumkan pada tahun ini juga.

Najib berkata beliau dimaklumkan bahawa MTUC telah memperjuangkan dasar gaji minimum sejak 1998 namun, tidak diendahkan oleh pemimpin utama kerajaan ketika itu, yang membiarkan nasib pekerja sehingga ada yang bergaji serendah RM400 sebulan.

Dalam masa hanya setahun selepas mengambil alih kepimpinan negara, Najib berkata beliau sendiri telah mengumumkan pelaksanaan Dasar Gaji Minimum Kebangsaan diikuti dengan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 yang seterusnya menyaksikan gaji minimum ditetapkan RM900 bagi Semenanjung Malaysia dan RM800 untuk Sabah dan Sarawak pada 2012.

“Pada tahun lepas, kadar gaji minimum ditingkatkan lagi masing-masing sebanyak 11 peratus dan 15 peratus menjadi RM1,000 di Semenanjung dan RM920 di Sabah dan Sarawak,” kata beliau.

Demi memupuk keluarga bahagia untuk warga pekerja, Najib berkata kerajaan BN akan memperkenalkan inisiatif khas cuti paterniti mandatori sekurang-kurangnya tiga hari khusus untuk suami yang bekerja di sektor swasta.

Pindaan peruntukan undang-undang bagi melaksanakan inisiatif itu dijangka dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya awal tahun hadapan, kata perdana menteri.

Najib berkata kerajaan juga bersetuju memperkenalkan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang direalisasikan pada Januari lepas bagi membantu pekerja yang diberhentikan.

Walaupun bayaran penuh SIP hanya boleh dilaksanakan mulai Januari tahun depan, beliau berkata nasib pekerja yang hilang mata pencarian tahun ini tidak dilupakan dengan kerajaan memperuntukkan RM122 juta kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso) untuk membuat bayaran SIP kepada pekerja yang terlibat.

Beliau juga memberitahu warga pekerja bahawa jika BN diberi mandat meneruskan pemerintahan pada 9 Mei ini, kerajaan akan menambah RM60 juta lagi kepada Perkeso menjadikan jumlah peruntukan bagi tujuan itu ialah RM182 juta.

Dengan tambahan RM60 juta ini, kadar bantuan interim akan ditingkatkan iaitu daripada RM600 bagi tempoh satu hingga tiga bulan kepada RM1,000 pada bulan pertama dan RM800 pada bulan kedua dan RM600 bagi bulan ketiga, kata beliau.

Dalam usaha melahirkan tenaga kerja mahir negara untuk menghadapi Revolusi Industri 4.0, perdana menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM200 juta melalui Pembangunan Sumber Manusia Bhd bagi melaksanakan Inisiatif Strategik Modal Insan.

Najib berkata kerajaan BN juga bertekad akan terus melindungi golongan pekerja sendiri dari pelbagai segmen masyarakat termasuk pemandu e-hailing, nelayan, petani, peniaga pasar dan penggiat seni.

Warga pekerja bukan sekadar penabur khidmat dan bakti kepada tanah air tercinta ini, bahkan lebih jauh dari itu, seluruh warga kerja walau di mana berada, BN mengangkat dan mengiktiraf warga pekerja sebagai tulang belakang, daging dan darah yang mengalir deras dalam pembuluh nadi serta nafas kerajaan di tanah air keramat lagi merdeka ini.

Kalau kerajaan BN itu umpama bunga, maka warga pekerjalah ibarat tangkainya. Maka, dari itu, janganlah sesekali warga pekerja sekalian terpesona dan tergoda serta menghirup di ‘bunga’ yang lain, teruslah yakin, menikmati madu dari kelopak BN yang tulen menjadi penawarnya, kata beliau sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.

Bertemakan ‘Pekerja Berkemahiran, Peneraju Kecemerlangan Negara’, majlis sambutan hari ini turut memberi pengiktirafan kepada beberapa tokoh pekerja dan majikan yang disampaikan perdana menteri.

Antaranya ialah Anugerah Tokoh Pekerja Negara (Eksekutif) yang diberikan kepada Allahyarham Datuk Izham Yusoff dari Bina Darulaman Bhd, Anugerah Tokoh Pekerja Negara (Bukan Eksekutif) yang disampaikan kepada Bahrin Buang dari Institut Kemahiran Mara Lumut dan Anugerah Tokoh Pekerja Orang Kurang Upaya kepada Profesor Madya Dr Naziaty Mohd Yaacob dari Universiti Malaya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Presiden MTUC Datuk Abdul Halim Mansor.– BERNAMA

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pelitup muka bukan sisa domestik 0 13543

Pelitup muka bukan sisa domestik

CABARAN pandemik COVID-19 belum tamat. Sehingga kini, lebih 51 juta penduduk dunia dijangkiti virus dengan lebih 1.27 juta kematian.

Bagi membendung penularan, kita sentiasa diingatkan kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Ini termasuk mengamalkan penjarakan fizikal, kerap membasuh tangan, mengelak tempat sesak dan memakai pelitup muka.

Sememangnya SOP perlu dibudayakan sehingga menjadi kebiasaan baharu. Bagaimanapun, amalan pemakaian pelitup muka menjadi perhatian dan kebimbangan aktivis alam sekitar serta penyelidik.

Sebelum ini, pemakaian pelitup muka terutama daripada jenis surgikal hanya diamalkan petugas kesihatan di hospital dan klinik. Ia SOP biasa bagi mengelak jangkitan dengan pesakit dirawat. – Berita Harian

Spread the news

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱 0 8153

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱

Limbang: Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang memindahkan buaya seberat 800 kilogram sepanjang lima meter yang ditangkap di parit di Taman Perumahan St Edmund Limbang, di sini, semalam, ke kawasan selamat pagi hari ini.

BBP Limbang dalam kenyataannya berkata, sekitar 11 malam, reptilia itu ditemukan tersesat di dalam parit di kawasan perumahan itu menyebabkan kegelisahan penduduk di situ.

Justeru, katanya, sepasukan bomba dikerah ke lokasi membantu bagi menangkap serta mengikat buaya berkenaan di parit berdekatan kawasan perumahan berkenaan.

“Hari ini, bomba dengan bantuan Sarawak Forestry Corporation (SFC) ke lokasi menjalankan khidmat khas pada 8.25 pagi untuk memindahkan buaya itu.

“Pasukan bomba dengan bantuan tujuh anggota SFC mengambil masa hampir satu jam mengangkat buaya tembaga itu ke darat dengan menggunakan forklift,” katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, buaya diletakkan dalam kenderaan khas kemudiannya diserahkan kepada SFC untuk dihantar ke lokasi penyimpanan SFC di Kubong. – Harian Metro

Spread the news