Rakyat Sarawak tidak sabar pengumuman pengembalian hak MA63 0 5581

KUCHING: Rakyat Sarawak tidak sabar menunggu cadangan pengumuman hari ini oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berhubung pengembalian hak Sarawak bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) oleh kerajaan persekutuan.

“Sarawak perlukan kuasa ini untuk mendapatkan lebih banyak dana dan cara lebih baik untuk membawa lebih banyak pembangunan dan kemajuan untuk rakyat, bukan mencetuskan sebarang masalah dengan kerajaan persekutuan,” kata penganalisis politik Datuk Peter Minos.

Minos yang juga pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan hari semalam memberitahu Bernama, rakyat Sarawak amat gembira kuasa berkenaan yang telah hilang sejak lama akan dikembalikan kepada negeri ini.

Dengan kuasa berkenaan kembali di tangan kerajaan negeri, beliau berkata hubungan persahabatan sebenar dan tulen akan terjalin antara Sarawak dan Kuala Lumpur.

Abang Johari berusaha keras mendapatkan semula hak itu, kata Minos dan menurutnya perkara itu dinyatakan dengan jelas pada konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kuching bulan lepas.

Gambar fail

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa merasmikan perhimpunan agung PBB berikrar mengembalikan hak Sarawak yang terhakis.

“Tiada perasaan bagi sebarang kehilangan. Saya fikir dan percaya penuh langkah ini akan menjadikan Malaysia lebih baik dan lebih hebat kerana salah faham dan perasaan tidak percaya akan lenyap,” kata pengerusi Persatuan Warisan Bung Bratak itu.

Beliau berkata seperti ditegaskan Abang Johari, Sarawak akan kekal sebahagian daripada Malaysia selama-lamanya.

Ini juga dinyatakan oleh Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang membangkitkan isu MA63 sebaik sahaja menjadi ketua menteri.

“Mereka ikhlas berhubung perkara itu dan begitu juga rakyat Sarawak, yang sepenuh hati menyokong langkah Abang Johari dalam mendapatkan semula apa yang menjadi hak Sarawak daripada kerajaan persekutuan.

“Hanya mahu mendapatkan semula apa yang menjadi milik Sarawak dan tidak lebih daripada itu. Pihak yang mengatakan Sarawak keterlaluan atau mendesak Kuala Lumpur berhubung isu itu sebenarnya tidak faham.

“Mereka melihatnya dari sudut salah. Apa juga milik anda adalah hak anda dan itu adalah hakikatnya. Kami di Sarawak tidak sabar menunggu apa Abang Johari akan nyatakan atau umumkan hari ini,” kata Minos.

Naib Canselor Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) Prof Datuk Khairuddin Abdul Hamid berkata cadangan pengumuman esok jelas menunjukkan keikhlasan kerajaan persekutuan membantu Sarawak.

Ia juga inisiatif jujur ikhas di kedua-dua pihak iaitu kerajaan negeri dan persekutuan yang saling bekerjasama sejak sekian lama dan kerjasama itu tidak akan berakhir dengan pengumuman hari ini, katanya.

Pengumuman hari ini mungkin berkaitan beberapa inisiatif untuk mengembalikan hak Sarawak bawah MA63 yang terhakis, katanya.

“Saya percaya ia bukan dicetuskan sebab hampir pilihan raya umum. Ia diusahakan sejak sekian lama. Cuma mungkin sekarang baru ada kesedaran, selama ini mungkin kita terleka,” katanya.

Khairuddin berkata beliau tidak menjangkakan pengumuman itu membawa perubahan atau pembaharuan terlalu drastik, sebaliknya mungkin berkisar kepada soal pentadbiran, misalnya berkaitan pendidikan yang kini terikat dengan dasar digubal di Putrajaya.

Penganalisis politik di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Profesor Madya Dr Jeniri Amir berkata pengembalian kuasa itu dapat dicapai kerana wujudnya hubungan baik antara kerajaan negeri dan persekutuan.

“Ramai rakyat negeri ini kurang faham, proses pengembalian hak ini sangat rumit dan memerlukan masa disebabkan isu ini sangat kompleks kerana membabitkan undang-undang negara dan hubungan kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya kepada Bernama.

Parti pembangkang mungkin akan cuba mempolitikkan perkara itu kerana cadangan pengumuman itu dibuat ketika pilihan raya umum semakin hampir, katanya yang berharap parti pembangkang tidak berbuat demikian.

Jeniri berpendapat satu daripada hak yang akan dikembalikan kepada Sarawak adalah berkaitan minyak dan gas yang sudah tentu membolehkan Sarawak meningkatkan pendapatan dan ekonominya, di samping meningkatkan pendapatan rakyatnya.

Pensyarah Universiti Malaya (UM) Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata pengembalian hak itu sesuai dengan dasar keterbukaan Najib yang mahu melihat kemajuan lebih pesat di Sarawak dan juga di Sabah.–BERNAMA

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pelitup muka bukan sisa domestik 0 13376

Pelitup muka bukan sisa domestik

CABARAN pandemik COVID-19 belum tamat. Sehingga kini, lebih 51 juta penduduk dunia dijangkiti virus dengan lebih 1.27 juta kematian.

Bagi membendung penularan, kita sentiasa diingatkan kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Ini termasuk mengamalkan penjarakan fizikal, kerap membasuh tangan, mengelak tempat sesak dan memakai pelitup muka.

Sememangnya SOP perlu dibudayakan sehingga menjadi kebiasaan baharu. Bagaimanapun, amalan pemakaian pelitup muka menjadi perhatian dan kebimbangan aktivis alam sekitar serta penyelidik.

Sebelum ini, pemakaian pelitup muka terutama daripada jenis surgikal hanya diamalkan petugas kesihatan di hospital dan klinik. Ia SOP biasa bagi mengelak jangkitan dengan pesakit dirawat. – Berita Harian

Spread the news

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱 0 8124

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱

Limbang: Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang memindahkan buaya seberat 800 kilogram sepanjang lima meter yang ditangkap di parit di Taman Perumahan St Edmund Limbang, di sini, semalam, ke kawasan selamat pagi hari ini.

BBP Limbang dalam kenyataannya berkata, sekitar 11 malam, reptilia itu ditemukan tersesat di dalam parit di kawasan perumahan itu menyebabkan kegelisahan penduduk di situ.

Justeru, katanya, sepasukan bomba dikerah ke lokasi membantu bagi menangkap serta mengikat buaya berkenaan di parit berdekatan kawasan perumahan berkenaan.

“Hari ini, bomba dengan bantuan Sarawak Forestry Corporation (SFC) ke lokasi menjalankan khidmat khas pada 8.25 pagi untuk memindahkan buaya itu.

“Pasukan bomba dengan bantuan tujuh anggota SFC mengambil masa hampir satu jam mengangkat buaya tembaga itu ke darat dengan menggunakanΒ forklift,” katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, buaya diletakkan dalam kenderaan khas kemudiannya diserahkan kepada SFC untuk dihantar ke lokasi penyimpanan SFC di Kubong. – Harian Metro

Spread the news