Wanita Iran dibenar tonton bola sepak lelaki 0 5956

DUBAI: Kerajaan Iran akan membenarkan penyokong wanita memasuki stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak lelaki mulai pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022 Oktober ini, lapor agensi berita IRNA, semalam.

Difahamkan, kelonggaran itu ada kaitan selepas Kementerian Sukan ditekan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang mendesak Iran membenarkan kaum Hawa menonton perlawanan bola sepak lelaki tanpa sekatan.

Wanita Iran dilarang memasuki stadium membabitkan perlawanan lelaki sejak pertukaran pemerintahan selepas Revolusi Iran pada 1979 manakala wanita warga asing hanya dibenarkan menonton pada bahagian tertentu stadium.

Jun lalu, FIFA menulis surat kepada Persekutuan Bolasepak Iran meminta mereka menyatakan tempoh sesuai untuk membenarkan penyokong wanita membeli tiket memsuki stadium atau berdepan tindakan.

“Wanita Iran boleh memasuki Stadium Azadi di Tehran untuk menyaksikan perlawanan pasukan lelaki kebangsaan melawan Kemboja di pusingan Kelayakan Piala Dunia Qatar,” lapor IRNA memetik kenyataan Timbalan Menteri Sukannya, Jamshid Taghizadeh.

Dalam pada itu, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang dianggotai 47 ahli gabungan termasuk Iran mengesahkan bahawa mereka sedang membantu FIFA mencapai satu ‘penyelesaian tuntas’ bagi membolehkan wanita Iran memasuki stadium pada perlawanan akan datang.

“Tiada undang-undang yang menyekat wanita menonton perlawanan bola sepak lelaki di stadium, infrastruktur untuk kemudahan kaum wanita sedang disiapkan,” kata Taghizadeh.

Selama ini, terdapat gerakan dilakukan penyokong bola sepak wanita di negara itu yang melancarkan kempen meminta kerajaan membenarkan kaum Hawa menjadi penonton perlawanan bola sepak lelaki meskipun hanya sedikit kelonggaran diberikan pihak berkuasa stadium.

Jun lalu, pihak keselamatan Iran menahan beberapa penyokong wanita daripada memasuki Stadium Azadi untuk menonton perlawanan persahabatan Iran melawan Syria.

Tahun lalu, terdapat penyokong wanita yang memberanikan diri dengan memakai misai palsu dan mengenakan pakaian tebal untuk mengelirukan pasukan keselamatan semata-mata mahu menonton perlawanan bola sepak lelaki di stadium.

Gambar dan rakaman video penyokong wanita itu kemudian tular di media sosial.

Pusingan akhir Piala Dunia 2022 akan berlangsung di Qatar. – Reuters

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Ronaldo ledak gol ke-102 0 7580

Ronaldo ledak gol ke-102

LISBON: Cristiano Ronaldo semakin menghampiri rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman ketika juara Eropah, Portugal membelasah Andorra 7-0 dalam saingan persahabatan sebentar tadi.

Bintang Juventus itu masuk dari bangku simpanan untuk meledak jaringan ke-102 gol buat Portugal pada minit ke-85.

Bekas penyerang Iran, Ali Daei memegang rekod dengan 109 gol.

Portugal, yang meneruskan persiapan untuk mempertahankan Kejohanan Eropah tahun depan akan beraksi dalam Liga Negara-Negara berdepan Perancis awal pagi Ahad ini, mudah mengatasi Andorra. – Berita Harian

Spread the news

FAS mungkin tarik diri 0 5232

FAS mungkin tarik diri

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais menegaskan, pihaknya mungkin akan menarik diri dari terus bersaing dalam kancah Liga Malaysia 2021.

Menurutnya, tindakan demikian terpaksa dilakukan sekiranya masalah kewangan dialami masih tidak menemui jalan penyelesaian.

Bagaimanapun katanya, pihaknya sedar pendekatan dilakukan bakal memberi tempias atau kesan terhadap pasukan yang beraksi dalam kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika ini.

“Mungkin kami akan menarik diri dari terus bersaing dalam kancah Liga Malaysia 2021 sekiranya masalah kewangan yang dihadapi ketika ini masih gagal menemui jalan penyelesaian serta tiada pihak yang tampil untuk membantu.

“Memang tindakan berbuat demikian memberi tempias kepada pasukan yang berada di bawah naungan kita kelak,” jelas Datuk Posa kepada Suara Sarawak baru-baru ini.

Beliau menegaskan, tindakan menarik diri dilihat sebagai jalan terbaik untuk mengelak musibah tersebut terus berpanjangan.

Musim ini lima pasukan di bawah badan induk berkenaan bersaing dalam liga anjuran FAM iaitu Sarawak United FC (Liga Premier), Sarawak United II Liga M3), Sarawak United III (Piala Presiden), Sarawak United IV (Piala Belia) dan Sarawak United (Liga Futsal FAM).

Justeru jika keputusan menarik diri terpaksa dilakukan maka secara automatik kesemua lima pasukan ini tidak boleh beraksi dalam sebarang kejohanan anjuran FAM.

Dalam pada itu katanya, pihak pengurusan FAS merakam ucapan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Abdullah Saidol atas sokongan yang diberikan kepada badan induk (FAS) selama – Suara Sarawak

Spread the news