MIRI: PKR Baram hari ini membuat laporan polis, supaya siasatan dibuat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, berhubung dakwaan rasuah.
Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis pada jam 3.33 petang tadi, di Balai Polis Pusat Miri, Ketua PKR Baram, Roland Engan berkata selepas meneliti beberapa laporan berita ditulis mengenai dakwaan rasuah membabitkan Taib, beliau kemudian memutuskan untuk membuat laporan polis.
“Apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu kita mengemukakan bukti-bukti untuk membolehkan siasatan baru dibuka (terhadap Taib).
“Banyak laporan berita dan artikel telah disiarkan berhubung dakwaan rasuah membabitkan beliau (Taib),” katanya.
Berdasarkan kepada artikel yang ditulis dan dibacanya, Roland berkata beliau berasa perlu untuk membuat laporan polis, bagi membolehkan kerajaan baru bertindak ke atas dakwaan rasuah.
Beliau juga memetik laporan berita di mana Tabung Bruno Manser menawarkan diri untuk tampil dan memberikan bukti terhadap salah laku dan rasuah yang dilakukan oleh Taib.
“Bukti tiada di tangan kita, sebaliknya kami percaya ia di tangan mereka yang pernah menyiasat dakwaan salah laku dan rasuah yang dilakukan oleh beliau,” tambahnya.
Sementara itu PKR Baram, turut membuat laporan susulan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, selepas sambutan Hari Gawai Dayak, minggu depan, untuk mendesak siasatan dijalankan ke atas Taib.
Sekitar 60 orang mengiringi Roland membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri. – Utusan Borneo Online