KIMANIS: Barisan Nasional (BN) akan terus melaksanakan tanggungjawabnya membangunkan Sabah dan Sarawak jika diberi mandat menerajui kerajaan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, hanya BN yang boleh memastikan kesinambungan pembangunan dan menjaga rakyat, bukan sahaja di kedua-dua negeri berkenaan malah di seluruh negara.
“Kita tahu negeri yang ditadbir pembangkang, tiada lebih (kemajuan) yang dibuat oleh mereka kerana kemajuan yang diperoleh mereka bertapak daripada BN.
“(Jadi) jangan kabur mata, terpesong fikiran kerana negara masih memerlukan BN,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat peringkat Parlimen Kimanis di Bongawan dekat sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata pemimpin BN mempunyai daya tahan luar biasa dan sanggup berkorban masa untuk memastikan rakyat maju.
Ahmad Zahid berkata, ini terbukti melalui manifesto BN pada PRU13 yang berjaya dilaksanakan hampir sepenuhnya iaitu 99.4 peratus.
“Ertinya, semua dalam manifesto untuk PRU14 ini akan dilaksanakan sepenuhnya oleh BN (jika menang pilihan raya).Kita (BN) merangkumi semua lapisan masyarakat,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melakukan segala-galanya untuk rakyat sejak memimpin negara dan memberi jaminan manifesto BN untuk PRU14 ini bukan janji kosong.
“Manifesto BN (untuk PRU14) memberi penekanan untuk lima tahun akan datang. Bukan janji kosong, bukan janji 100 hari.
“Apabila Perdana Menteri diwawancara oleh media asing (selepas melancarkan manifesto), beliau berkata pembangkang tidak akan dapat melaksanakan semua janji dalam manifesto mereka berbanding BN,” katanya.– BERNAMA