KUCHING: Festival Menuai dan Kesenian Rakyat Sarawak akan kembali diadakan di Kampung Budaya Sarawak pada 27 hingga 29 April depan.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Hussain berkata, festival yang meraikan kepelbagaian kumpulan etnik di negeri Sarawak ini akan menjanjikan acara yang lebih menarik dan meriah.
“Selain pengunjung tempatan, kita juga menyajikan acara dan aktiviti yang boleh menarik perhatian pelancong asing, serta meningkatkan pemahaman mereka akan adat serta budaya kita,” katanya dalam sidang media mempromosikan festival itu di sini.
Antara aktiviti yang akan dipersembahkan sepanjang festival itu termasuklah drama muzikal bertajuk ‘Rentap – The Untold Story’ yang mengisahkan lagenda pahlawan Iban yang terkenal dengan kehebatan dan keberaniannya menentang musuh.
Turut diadakan, pertandingan Ratu Cantik mengikut kumpulan etnik yang mengetengahkan gadis cantik berbusana tradisi Sarawak.
Foto Ahmad Iskandar
Turut diadakan persembahan sape oleh pemetik antarabangsa seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Brunei, Perancis, dan Sabah manakala Sarawak tampil dengan irama tradisional.
Turut dilangsungkan acara ‘Tribal Ironman Challenge 2018’ yang menampilkan 15 badang terpilih, yang akan menguji kemahiran dan kekuatan mereka dalam mengangkat karung guni seberat 50 kilogram, mendaki Gunung Santubong, acara tembak-menembak serta mengupas kelapa dengan tangan kosong.
Bagi peminat makanan pula, pertandingan Dapur Masakan Makanan Sarawak dibuka kepada semua warganegara untuk memberi peluang kepada pengunjung dari luar merasai masakan asli Sarawak,”katanya.
Festival ini mensasarkan lebih 8,500 kehadiran, dengan tiket masuk dijual pada harga RM60 untuk dewasa dan RM30 untuk kanak-kanak berusia 2 hingga 12 tahun.
Tiket boleh didapati melalui laman rasmi iaitu www.sarawakharvest.com atau boleh terus membeli tiket di kaunter Kampung Budaya Sarawak. –Sarawakvoice
Foto Ahmad IskandarFoto Ahmad Iskandar