MIRI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiba di Lapangan Terbang Miri, di sini kira-kira jam 4 petang tadi bagi lawatan dua hari di Sarawak.
Ketibaan beliau disambut oleh Ketua MenterivDatuk Patinggi Abang Johari Tun Openg danTimbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Turut hadir, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting, Residen Miri Sherrina Hussaini dan Datuk Bandar Miri Adam Yii.
Bacaan doa selamat setibanya Najib di Lapangan Terbang Miri, hari iniSejurus tiba, beliau kemudiannya bergerak ke Hotel Pullman Miri Waterfront bagi menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Seminar Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Peringkat Negeri.
Selain itu, lawatan hari pertama beliau disusuli dengan Majlis Jamuan Makan Malam Bersama Rakyat di Eastwood Valley Golf & Country Club kira-kira jam 8 malam ini.
Lawatan hari kedua esok, Najib dijadualkan untuk menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Pecah Tanah Pembinaan Jambatan Baram di Marudi, Majlis Pelancaran Penyerahan Loji Hidroelektrik (HEP) Bakun di Bakun dan Tinjauan Mesra ke Pusat Transformasi Luar Bandar dan Esplanade Bekenu sebelum bertolak pulang ke ibu negara. -Utusan Borneo Online