KUCHING: Pembinaan pelbagai prasarana pengangkutan di Sarawak, termasuk jalan raya, lampu isyarat malah lampu jalan dan sistem parkir pada masa depan akan berteraskan “sensor”, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusuf semalam.
Menurutnya, kaedah ini amat penting berikutan dunia pada masa depan, akan dipenuhi pelbagai teknologi pintar, termasuk kereta tanpa pemandu.
“Justeru itu, kita di peringkat Kementerian Kerja Raya telah telah diamanahkan sebagai sekretariat untuk menyediakan “blueprint” yang akan memenuhi keperluan ini untuk seluruh negara.
“Ketika ini kita sedang dalam proses mengumpul maklumat dan berbincang dengan pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, pakar teknologi malah badan bukan kerajaan untuk menyediakan prasarana yang dipasang sensor ini, agar dapat berkomunikasi dengan kenderaan, terutamanya melalui sistem GPS,” katanya ketika ditemui pada program belia di Matang semalam.
Kenderaan tanpa pemandu yang kini trending di Singapura, dan beberapa negara maju dijangka akan mula dipraktiskan di Malaysia dalam tempoh 10 ke 15 tahun akan datang.
Berdasarkan kajian sarawakvoice.com, penggunaan kenderaan tanpa pemandu, yang berasaskan sensor ini bukan sahaja menjimatkan masa dan tenaga, malah berpotensi ke arah mewujudkan kemalangan sifar.
Ia juga adalah kaedah pemanduan masa depan, yang telah melalui pelbagai peringkat kajian oleh pengeluar kenderaan dunia.
Sarawak yang kini menjayakan dasar Ekonomi Digital telah pun membayangkan untuk mengguna pakai teknologi ini dan kajian mengenainya sedang dilaksanakan oleh beberapa pihak.
“Ya, kita turut menyahut saranan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berhubung perkara ini,” akui Fadillah.
Penggunaan sensor katanya, adalah salah satu ciri Ekonomi Digital yang dipraktiskan oleh Sarawak menerusi teknologi pintar 4.0.
Blueprint tersebut katanya, dijangka dapat dibentangkan kepada Kabinet dalam tahun ini juga. — Sarawakvoice